Lebih 230 individu disyaki ahli geng MS-13 ditahan

Iklan
Pada tahun 2017 Trump berkata, geng MS-13 telah menguasai bandar-bandar di AS. - Foto: Agensi

NEW YORK - Lebih 230 individu disyaki ahli geng MS-13 ditahan di New York, Baltimore dan El Salvador, umum pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam.

Menurut kenyataan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) dan Pendakwa Daerah Suffolk, operasi menyasarkan geng Hispanic itu merupakan hasil penyiasatan selama lebih dua tahun.

Iklan
Iklan

"Penangkapan menamatkan cubaan MS-13 untuk membina kekuatan di East Coast," kata agen khas DEA, Ray Donovan.

Sejumlah 96 yang ditahan berasal dari Long Island yang juga kubu kuat MS-13 namun kenyataan tersebut tidak memaklumkan sama ada mereka warga AS atau warganegara luar.

Iklan

Susulan kejayaan operasi itu, Presiden Donald Trump memuat naik ciapan berbunyi,"Kita menahan anggota geng MS-13 dan ramai lagi yang tidak sepatutnya berada di sini, keluar dari negara kita!."

Jutawan hartanah berkenaan sering mengaitkan aktiviti geng haram dengan kempen beliau untuk menurunkan migrasi ke AS.

Iklan

Pada tahun 2017 Trump berkata, geng MS-13 telah menguasai bandar-bandar di negara itu.

MS-13 berasal dari Los Angeles namun susulan tindakan keras pada tahun 1990, ramai ahli geng tersebut dihantar pulang ke El Salvador, Guatemala dan Honduras di mana mereka semakin berkuasa.

Dalam pada itu, kira-kira 10 kilogram kokain, heroin, ganja dan pil fentanyl turut berjaya dirampas ketika operasi. - AFP