KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan beberapa notis pemberitahuan kepada penduduk agar tidak meletakkan kenderaan sembarangan di Taman Perumahan Sungai Kapar Indah (SKI) pada Rabu.
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, notis itu dikeluarkan bagi memastikan pemilik kenderaan tidak menghalang laluan kenderaan lain untuk keluar dan masuk.
Menurutnya, notis itu juga penting bagi memastikan pemilik mengalih dan memindahkan kenderaan mereka segera.
"Kepada mereka yang ingkar, tindakan boleh dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 8 (1) Taman MPK 2005 dan dikenakan penalti am tidak melebihi RM2,000," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Norfiza berkata, penguatkuasaan UUK itu adalah usaha kawalan berterusan agar persekitaran taman perumahan berada dalam keadaan kondusif di samping mendidik masyarakat bertanggungjawab.
"Kita menasihatkan pemilik kenderaan meletakkan kenderaan di tempat yang sepatutnya dan tidak melanggar peraturan telah ditetapkan," jelas beliau.
Sebelum ini, tular di laman Facebook, Persatuan Kebajikan Penduduk SKI mengenai tindakan MPK menghantar notis pemberitahuan kepada pemilik yang meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan di kawasan perumahan.
Menerusi status dimuat naik itu memaklumkan, notis pemberitahuan itu telah ditampal di cermin pemilik kereta.
"Diharapkan penduduk Taman SKI ambil maklum berkenaan perkara ini," jelas kenyataan tersebut.