Pas sudah ada senarai calon PRK Kemaman

Iklan
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU - Pas sudah bersedia dengan senarai beberapa calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan datang.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pemilihan calon itu akan dibuat oleh parti dan pasti akan mengutamakan orang tempatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun perkara itu masih awal untuk dibincangkan dan perlu menunggu mesyuarat serta pengisytiharan tarikh PRK oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu.

"Insya-ALLAH akan diputuskan oleh parti apabila sampai masa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan B ROHM-Wako Electronics Malaysia (RWEM) di Pengkalan Chepa di sini, pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, pihak parti itu akan mengadakan mesyuarat untuk pemilihan calon yang bakal bertanding.

"Calon yang lepas (bekas Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid) pun ada lagi dan masih diterima baik oleh rakyat. Apa-apa pun akan diputuskan dalam mesyuarat yang akan diadakan nanti,” katanya.

Iklan

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen pilihan raya itu.

Pas memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan, sebaliknya bersedia menghadapi PRK.

Dalam PRU15 lalu, Che Alias (Pas) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.

Che Alias memperoleh undi sebanyak 65,714 menewaskan Ahmad yang memperoleh undi sebanyak 38,535.

Dua lagi calon yang bertanding dalam Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.