PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung penyebaran mesej palsu berkaitan dengan lesen Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Menerusi kenyataan pada Khamis, kementerian itu menegaskan kerajaan tidak menarik atau membatalkan konsesi beras kepada Bernas yang telah dipersetujui selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 sehingga 10 Januari 2031.
Iklan
Iklan
"Tuduhan mengenai tugas penguatkuasaan tidak dijalankan adalah juga tidak benar," katanya.
Jelas kementerian itu, Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) sedang berjalan melalui kerjasama rentas agensi melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan diketuai oleh Timbalan Menteri Datuk Chan Foong Hin.
"Sehingga kini, terdapat dua kilang telah disita dan disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522]," katanya.