Terpulang kepada mana-mana negara hadiri Sidang Kemuncak KL

Iklan
Sultan Nazrin (tengah) bergambar pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak KL 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Terpulang kepada mana-mana negara Islam sama ada ingin menghadiri atau sebaliknya ke Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 kerana tiada paksaan berhubung kehadiran masing-masing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sidang kemuncak itu telah berjaya menarik kehadiran bukan sahaja pemimpin negara tetapi juga tokoh dan ulama dari seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Pertama yang ingin nyatakan, tiada paksaan dalam Islam. Jika mereka memutuskan sama ada hadir atau tidak, terpulang kepada mereka. Masing-masing berhak mengambil sebarang keputusan apa yang mereka mahu.

"Namun, kita berpuas hati kerana kehadiran dan perbincangan memberi fokus kepada bagaimana untuk menolong diri kita sendiri daripada meminta bantuan orang lain. Kita ada kekuatan berbuat demikian dan bersatu. Apa yang orang lain kata, itu hak mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Sidang Kemuncak KL 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Iklan

Beliau mengulas mengenai ketidakhadiran sesetengah negara termasuk Arab Saudi yang dilaporkan tidak bersetuju dengan penganjuran sidang kemuncak berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai ketidakhadiran Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, Dr Mahathir memaklumkan, pemimpin itu telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak dapat berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu.

Iklan

"Kita amat sedih namun ketika mesyuarat PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Imran bersama (Presiden Turki, Recep Tayyip) Erdogan dan saya sendiri, kita bekerja bersama-sama menyuarakan pandangan.

"Beliau (Imran) tidak dapat berada di sini namun pada masa akan datang, beliau mahu datang," katanya.

Imran sepatutnya hadir dan berucap pada Sidang Kemuncak KL 2019 namun beliau terpaksa membatalkan pada saat-saat akhir.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, sekatan ekonomi terhadap negara tertentu merupakan satu jenayah kerana kesannya bukan melibatkan satu pihak sahaja tetapi juga menyeluruh.

Katanya, seperti mana berlaku kepada Iran, ekonomi Malaysia juga terjejas kerana negara itu merupakan antara rakan perdagangan terbesar negara ini.

"Sekatan ekonomi hanya dilakukan oleh negara kuat, bukan negara lemah seperti Malaysia. Saya gembira jika boleh melakukan sekatan terhadap (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump, tetapi saya tidak boleh.

"Tetapi dia (Trump) boleh melakukan sekatan kepada mana-mana negara dan kita akan sengsara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kritikannya berhubung keputusan kerajaan India meluluskan undang-undang kontroversi berkaitan isu kerakyatan kerana tindakan itu tidak adil, Dr Mahathir berkata, beliau berhak menyuarakan pandangannya.

"Itu pendirian mereka, tetapi ini adalah pendirian saya. Malaysia telah menerima orang dari negara lain yang datang ketika era British, tetapi kita terima mereka sebagai warga negara malah bebas mengamalkan kepercayaan mereka serta kini terlibat dalam politik dan pentadbiran kerajaan.

"Kita terima mereka sebagai warganegara dan dilayan secara adil," katanya.

Kementerian Luar India dalam kenyataan semalam meminta Malaysia agar tidak mencampuri urusan dalaman negara itu dan menyifatkan kenyataan Dr Mahathir berhubung isu kewarganegaraan adalah tidak tepat.