Belanjawan 2024: Perbanyak laluan khas bas di pusat bandar

Iklan
Pengguna berharap kerajaan menyediakan peruntukan bagi naik taraf pengangkutan awam khususnya memperbanyak kemudahan laluan bas di pusat bandar. - Gambar hiasan (Gambar kecil dari kiri: Iman Damia, Adilah, Hairi)

KUALA LUMPUR - Pengguna berharap kerajaan menyediakan peruntukan bagi naik taraf pengangkutan awam khususnya memperbanyak kemudahan laluan bas di pusat bandar.

Pelajar IPTS, Iman Damia Fadzli Syam, 22, berkata, bas perlu mempunyai laluan khas bagi mengelak kesesakan di pusat bandar yang bakal mempengaruhi jadual perjalanan mengambil dan menurunkan penumpang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun pengguna kini lebih gemar menggunakan perkhidmatan tren namun masih terdapat pengguna yang kekal menggunakan bas.

"Dahulu saya guna bas untuk pergi balik sekolah dan ada ketika apabila kelas habis lewat petang akan menyebabkan saya menunggu hingga ke malam untuk dapatkan bas.

Iklan

"Dengan menyediakan lebih banyak laluan bas, saya yakin isu bas lewat dapat diatasi. Selain itu bilangan bas juga perlu ditambah terutama pada waktu puncak," katanya sewaktu tinjauan harapan rakyat sempena Belanjawan 2024 bagi pengangkutan awam.

Sementara itu, seorang pelayan restoran, Adilah Astri 24, berkata, kerajaan perlu menumpukan perkhidmatan bas berbanding pengangkutan awam lain.

Iklan

"Dahulu saya selalu naik bas ke tempat kerja, tapi selepas ada MRT saya hanya naik komuter kena lebih cepat berbanding naik bas yang tempoh perjalanan mengambil masa lebih sejam.

"Pada saya, perkhidmatan tren dalam negara sudah memuaskan cuma perlu tambah penyelenggaraan yang ada kala alami kerosakan yang mengganggu jadual pengguna," katanya.

Sementara itu, pekerja p-hailing, Hairi Osman, 41, berharap kerajaan menambah baik perkhidmatan bas percuma GoKL supaya dapat dimanfaatkan oleh rakyat secara total.

"Saya harap kalau boleh kerajaan kena caj tambang kepada pengguna warga asing yang banyak gunakan GoKL," katanya.

"Orang awam bukan tak nak naik GoKL tapi rasa tak selesa apabila dipenuhi warga asing. Dengan caj tambang yang diperoleh itu dapat digunakan untuk kos penyelenggaraan kenderaan," katanya.