MYAirline diarah henti jualan, tempahan tiket - Mavcom

Iklan
MYAirline juga perlu bertanggungjawab membuat bayaran balik kepada pengguna yang telah membeli tiket penerbangan. - Foto MYAirline

SEPANG - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengarahkan MYAirline menghentikan segera jualan dan tempahan tiket di semua platform tempahan hingga notis selanjutnya susulan penggantungan operasi syarikat penerbangan itu hari ini.

Mavcom dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, MYAirline juga perlu bertanggungjawab membuat bayaran balik kepada pengguna yang telah membeli tiket penerbangan.

Iklan
Iklan

"Selain itu, syarikat penerbangan itu perlu segera membantu pengguna yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Awal pagi ini, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini hingga diberitahu kelak berikutan tekanan kewangan ketara yang menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula oleh pemegang saham syarikat penerbangan itu.

Iklan

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan telah mengarahkan petugasnya di lapangan terbang berkaitan bagi memberikan bantuan sebaik mungkin kepada penumpang MYAirline yang terkandas.

Menurut MAHB, notis berkenaan perkara itu telah diletakkan di terminal dan petugas di lapangan diarah memberi bantuan berhubung penerbangan alternatif oleh syarikat penerbangan lain.

Iklan

"Ketika ini, situasi di lapangan terbang yang terlibat adalah terkawal,” menurut MAHB.

Data operasi menunjukkan setakat hari ini, sejumlah 39 penerbangan bagi destinasi tempatan dan satu laluan antarabangsa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK), Thailand dengan kira-kira 5,000 penumpang terjejas. - Bernama