125,000 penumpang MyAirline terjejas, nilai tiket RM20 juta

Iklan
Anthony ketika sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Dianggarkan seramai 125,000 penumpang terjejas dengan nilai keseluruhan tiket hampir RM20 juta ekoran penggantungan serta-merta perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah MyAirlines Sdn Bhd (MYAirline) pada Khamis.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat berkenaan telah mengeluarkan tiket sehingga Mac tahun depan melibatkan lapan destinasi domestik dan Bangkok, Thailand.

Iklan
Iklan

"MYAirline telah memberi jaminan kepada MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) untuk menunaikan kewajipan terhadap penumpang yang terjejas dengan membuat bayaran balik kepada mereka.

"Ini keutamaan kita, saya juga telah mengarahkan MAVCOM menubuhkan satu jawatankuasa khas dalam perkara ini dan berhubung dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk cari kaedah bagaimana memastikan semua penumpang terjejas dapat bayaran balik.

Iklan

"Kita faham ada penumpang (beli tiket) guna kad kredit. Oleh itu kita perlukan kerjasama BNM untuk cari apa kaedah supaya penumpang dapat 'refund',” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.

MYAirline dalam kenyataan memaklumkan keputusan penggantungan dibuat ekoran tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham serta permodalan semula syarikat.

Iklan

Dalam pada itu Anthony turut menyifatkan syarikat berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab susulan tiada pemakluman awal kepada Kementerian Pengangkutan, MAVCOM serta pihak terlibat untuk menggantung operasi.

"Apa yang berlaku (adalah) MYAirline terus menghilangkan diri, bukan sahaja kapal terbang tiada (malah) pekerja juga tiada di lapangan terbang untuk beri maklumat.

"Jadi ini sudah tentu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan kita akan 'persue' perkara ini. MAVCOM akan bertanggungjawab supaya ada mekanisma jelas untuk bayaran balik kepada penumpang.

"Perkara yang berlaku amat dikesali dan mereka (pengurusan MYAirline) perlu memohon maaf kepada penumpang yang terjejas,” katanya.

Sementara itu beliau turut memaklumkan, MAVCOM telah meluluskan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kepada MYAirline untuk tempoh 12 bulan bermula 15 November 2022 hingga 14 November 2023.

Sehubungan itu katanya, suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan kedudukan lesen berkenaan.