KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Gimnastik Terengganu (PGNT) dalam mencari jalan penyelesaian berhubung penawaran dibuat kepada atlet gimnastik wanita negeri itu menyertai sukan wushu.
Menternya, Hannah Yeoh berkata, pertemuan itu akan membincangkan solusi terbaik buat atlet terlibat susulan kerajaan negeri kekal dengan pendirian melarang penyertaan mereka dalam sukan gimnastik pada mana-mana kejohanan termasuk temasya Sukan Malaysia (Sukma).
"Saya telah menghubungi Presiden PGNT, Abdul Razak Mat Amin untuk kita tengok bantuan apa yang boleh diberikan bagi menyelesaikan masalah ini menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).
"Hasrat kami ialah supaya anak-anak muda yang mahu terlibat dalam apa jenis sukan pun, kod pemakaian tidak seharusnya jadi penghalang untuk meneruskan impian dalam menceburi sesuatu sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Gimrama Piala Petrina yang membuka tirai hari ini sehingga Ahad ini di Stadium Titiwangsa, di sini.
Hannah mengulas mengenai perkara tersebut susulan keputusan kerajaan negeri itu untuk tidak menyertai acara gimnastik wanita dan gimrama pada Sukma 2024 di Sarawak disebabkan masalah pakaian tidak patuh syariah.
Sementara itu, Hannah berkata, pihaknya akan mengumumkan pengganti kepada bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail sebelum hujung bulan ini atau bulan depan.
Ahmad Shapawi bersara wajib pada 28 September lalu selepas 35 tahun menyumbang bakti dan tenaganya bersama dengan agensi KBS itu.
Terdahulu, Piala Petrina iaitu kejohanan gimrama antarabangsa buat julung kalinya diadakan di sini telah menarik penyertaan 10 egara dan membabitkan lebih 600 peserta.
Kejohanan tersebut disertai gimnas dari Azerbaijan, China, Mesir, Jepun, Mexico, Singapura, Taiwan, Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia. - Bernama