KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sudah mengenal pasti sebanyak 456 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung kira-kira 191,000 mangsa banjir pada musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, PPS dikenal pasti pihaknya sebagai persediaan awal kerana banjir yang berlaku di negeri berkenaan saban tahun.
Menurutnya, persiapan termasuk penyediaan bantuan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.
"Kami melakukan penyelenggaraan di PPS terbabit agar keselamatan mangsa terjamin.
"Selain itu, pelbagai bantuan dan skim bencana disediakan oleh kerajaan melalui Tabung Serambi Mekah dan bantuan bencana alam berbentuk kewangan, baik pulih serta bina rumah baru,” katanya selepas Majlis Penutupan Latihah Kesiapsiagaan 200 Sukarelawan Menghadapi Bencana 2023 di Meranti di sini pada Khamis.
Tambah beliau, persiapan bagi menghadapi bencana perlu dilakukan secara berterusan dan dikemas kini agar inklusif serta wujud ekosistem pengurusan yang terbaik.
Mohd Nassuruddin berkata, setiap petugas bencana juga seharusnya membuat persediaan rapi dari segi fizikal mental dan emosi sebelum melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.
"Menyelamat dan membantu mangsa bencana ialah satu tugasan yang mulia tetapi turut memberi kesan ke atas psikologi mereka yang terlibat kerana turut berhadapan dengan situasi sukar hingga mengancam nyawa.
"Sehubungan itu, lengkapkan diri dengan kemahiran asas, kursus dan latihan supaya lebih berdaya tahan serta bertepatan dengan matlamat bagi melindungi nyawa mahupun harta benda,” katanya.