PASUKAN bola jaring KL Wildcats yang tampil dengan wajah baharu selesa merendah diri dalam saingan Liga Super Bola Jaring (NSL) 2023 biarpun merupakan finalis bagi edisi lalu.
Skuad Wildcats yang dibimbing Norizan Rajab akan membuka tirai kejohanan menentang juara bertahan, Johor Jewels di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Jumaat.
Pengurus pasukan Yatimah Hashim memberitahu, Wildcats telah membentuk skuad baharu setelah ramai pemain yang digilap sejak tahun 2017 berhijrah ke pasukan lain bagi mengharungi kejohanan tersebut.
Namun beliau berkata, ia tidak melemahkan semangat pengurusan untuk membina semula skuad apabila membariskan 100 peratus pemain baharu berusia antara 17 hingga 19 tahun yang merupakan skuad projek untuk mengharungi Sukan Malaysia (Sukma) bagi edisi 2024 dan 2026.
"Bagi menjayakan program tersebut kami berkolaborasi dengan pemain antarabangsa bertaraf dunia iaitu Uganda.
"Dua pemain Uganda menyertai kita akhir September lalu. Mereka bersama membantu pemain menerusi teknik dan corak permainan terbaik untuk membentuk pasukan mantap.
"Secara kebetulan berlangsung NSL 2023 dan kita terus serap mereka sebagai pemain dalam skuad untuk mengharungi kejohanan itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Meskipun baru dibentuk akhir tahun lalu, skuad itu yang membentuk pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah menunjukkan taring apabila muncul juara Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan edisi ke-44 baru-baru ini.
Justeru bagi kejohanan NSL 2023, Yatimah tidak menaruh harapan menggunung buat skuad mudanya untuk mengungguli kejohanan tersebut.
"Saya tak letak harapan yang tinggi. Apapun buat yang terbaik. Timba pengalaman sebaik mungkin.
"Perjuangan mereka masih panjang, NSL mampu mematangkan mereka dan menjadi pentas pemanas badan untuk kejohanan yang lebih besar,” katanya.