PELAKSANAAN semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 selepas dimansuhkan pada tahun 2018 mengundang pelbagai respons balas ramai pihak.
Dari satu sudut, kaedah latihan dengan menerapkan 90 peratus asas ketenteraan manakala 10 peratus lagi lebih kepada modul kenegaraan dikatakan mampu membentuk jiwa berdisiplin.
Bukan apa, ‘kursus’ selama 45 hari sedikit sebanyak berupaya mencorakkan keperibadian anak bangsa supaya mengikut peraturan dan memahami jati diri seorang anak Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini mendedahkan, acuan baharu PLKN 3.0 dapat memberi pulangan yang baik dari segi modal insan dan lebih menjimatkan.
Projek tersebut dijangka melibatkan lebih 200,000 pelatih dan akan diadakan di 13 kem latihan tentera wataniah dan polis seluruh negara dengan kos tidak melebihi RM100 juta setahun.
Pada masa sama, Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri menyarankan PLKN 3.0 lebih menumpukan penerapan kurikulum yang menjurus kepada pembinaan negara dengan melatih pemimpin masa depan.
Beliau menyifatkan, perubahan masa dan cara hidup masa kini menjadikan mereka leka sehingga tidak tahu erti kesusahan dan penderitaan hidup generasi sebelum merdeka.
Sehubungan itu, Muhammad Amir Asyraf percaya, PKLN 3.0 sebagai mekanisme pembentukan disiplin diri, mematangkan fikiran selain menguji ketahanan fizikal dan mental.
Nampaknya tanda pagar #PLKN3 sudah menjadi trending di media sosial khususnya platform X apabila ramai memberi sokongan padu terhadap langkah kerajaan yang mahu melatih generasi muda supaya berjiwa kental dan membangkitkan semangat patriotisme.
Rata-rata komentar yang dikongsikan bersetuju dengan pelaksanaan tersebut, namun mereka berpandangan, tempoh 45 hari belum tentu cukup untuk membentuk semangat patriotik dalam kalangan belia.
Mengambil contoh Khidmat Negara Singapura yang mewajibkan warganegara lelaki berusia 18 tahun untuk menyertai sistem kerahan tenaga selama dua tahun.
Begitu juga di Korea Selatan, program khidmat negara di sana juga lebih ketat yang mana mewajibkan semua lelaki berusia 18 hingga 35 tahun menjalani latihan ketenteraan selama hampir dua tahun.
Justeru, apalah sangat kalau dibandingkan tempoh 45 hari yang dicadangkan untuk PLKN 3.0 dengan dua negara tersebut.
Bukan sahaja soal tempoh masa latihan hangat dibahaskan netizen, malah lokasi kem tentera dan polis yang ditawarkan sebagai penempatan nanti juga menjadi buah mulut.
Tidak kurang pula terdapat segelintir pihak yang membantah pelaksanaan tersebut kerana beranggapan PLKN 1.0 satu projek sia-sia.
Mana tidaknya, peruntukan sebanyak RM8.05 bilion yang pernah dibuat dahulu bukanlah satu amaun yang kecil untuk dibelanjakan demi melatih 900,000 orang dalam tempoh 16 tahun.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini pernah menegaskan, tiada keperluan untuk mengembalikan semula PLKN kerana ia dilihat satu pembaziran.
Malah, Presiden Muda itu berpandangan bahawa PLKN lebih kepada alat politik dan berharap kerajaan lebih tertumpu kepada penambahbaikan sistem pendidikan sedia ada negara ini.
Menurutnya, pelapis bangsa zaman kini bukanlah lemah, namun berdepan cabaran dengan sistem pendidikan yang semakin rumit.
Pun begitu, setiap saranan dan cadangan yang membina yang dikongsikan semua pihak mungkin boleh dipertimbangkan demi kemaslahatan bersama.
Jadi, sudah bersediakah anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mereka yang berusia 17 tahun untuk menjalani latihan ala ketenteraan nanti? Tepuk dada, tanya selera!
Apa pun, harapan paling utama rakyat adalah mereka mahukan transparensi atau ketelusan dalam soal pengendalian dan belanjawan yang digunakan untuk PLKN 3.0 nanti supaya pisang tak berbuah dua kali.
* Arziana Mohmad Azaman ialah wartawan SinarPlus Sinar Harian