Pemandu teksi, e-hailing mohon insentif untuk ringan beban

Iklan
Pemandu teksi di negeri ini berharap kerajaan memberi bantuan sewajarnya bagi meringankan kos operasi mereka. - Gambar hiasan (Gambar kecil dari kiri: Anuar, Mohd Azmi, Sazali, Gary)

GEORGE TOWN - Pemandu teksi di negeri ini berharap kerajaan memberi bantuan sewajarnya bagi meringankan kos operasi mereka.

Anuar Mohd Noor, 58, berkata, dia dan rakan-rakannya berharap agar kerajaan memberi subsidi petrol kepada semua pemandu teksi yang layak.

Iklan
Iklan

Dia yang sudah menjadi pemandu teksi sejak 24 tahun lalu berkata, dengan pemberian bantuan itu, ia akan dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka.

"Apa yang saya dan rakan-rakan lain harapkan, kerajaan bagi lah subsidi petrol seperti para nelayan. Kos bawa teksi ni tinggi sebenarnya apabila melibatkan petrol dan penyelenggaraan teksi.

Iklan

"Jika dikembalikan subsidi yang diberikan dahulu, lagi baik. 15 tahun dulu, kami dapat bantuan subsidi petrol melalui kad petrol. Dalam kad itu, kita boleh gunakan 712 liter untuk harga subsidi, jika penggunaan lebih, bayar sendiri.

"Ini antara contoh bantuan yang kami harapkan daripada kerajaan yang memerintah sekarang ini," katanya ketika ditemui di sini.

Iklan

Seorang lagi pemandu teksi, Mohd Azmi Mohd Kamaruddin, 37 berkata, dia mengharapkan kerajaan menyelamatkan perkhidmatan teksi daripada terus lenyap berikutan saingan yang besar daripada perkhidmatan e-hailing.

"Saya bukan iri hati dengan pemandu e-hailing tetapi sejak mereka dibenarkan mengambil penumpang di lapangan terbang (tanpa membawa penumpang dari lokasi lain), trip kami semakin kurang.

"Dulu sehari beratus trip tetapi sekarang nak dapat 10 trip pun susah. Oleh itu, satu garis panduan perlu dibuat, contohnya, jangan benarkan pemandu e-hailing yang tidak mempunyai penumpang masuk ke kawasan lapangan terbang, melainkan mereka membawa penumpang dari lokasi lain yang hendak ke lapangan terbang.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Limo dan Teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Sazali Amman berkata, selain bantuan subsidi petrol, penukaran tayar sebanyak dua kali setahun kepada semua pemandu teksi juga dapat meringankan beban mereka.

"Pemansuhan bantuan ini membuatkan pemandu teksi semakin terhimpit. Tambahan pula dengan kemunculan e-hailing yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, ia membuatkan kami hilang trip. Dahulu sehari boleh dapat 1,200 trip, sekarang hanya dapat 350 trip saja," katanya.

Sementara itu, seorang pemandu e-hailing, Gary Boey, 50, berkata, dia memohon kerajaan mengeluarkan arahan kepada syarikat e-hailing supaya menyemak semula kadar tambang yang diperoleh pemandu.

Dia yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, kadar rendah yang dikenakan syarikat e-hailing sejak Januari lalu menyebabkan pendapatannya menurun sebanyak 40 peratus.

"Dulu sebulan boleh dapat RM5,000, sekarang RM3,500 sahaja," katanya.