TINDAKAN syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline memaklumkan penggantungan operasi berkuat kuasa pada Khamis ternyata mengejutkan banyak pihak terutama mereka yang sudah membuat pembelian tiket penerbangan.
Sebagai sebuah organisasi besar, MYAirline tidak boleh melepaskan tanggungjawab begitu sahaja selepas memaklumkan penggantungan operasi sebaliknya perlu memikirkan alternatif lain untuk menyelesaikan masalah pengguna.
Walaupun berhadapan dengan kesulitan, syarikat penerbangan itu tidak sepatutnya melakukan tindakan luar jangka yang mana ia akan menimbulkan kesulitan banyak pihak.
MYAirline sepatutnya mengetahui lebih awal mengenai tempoh keupayaan syarikat untuk beroperasi dan organisasi itu perlu menyusun strategi lebih awal bagi mengatasi masalah tersebut.
Bukan itu sahaja, pengumuman mengejut oleh syarikat penerbangan itu telah menyebabkan semua pemilik tiket penerbangan menzahirkan rasa kesal kerana tidak memaklumkan terlebih dahulu.
Ini kerana kebanyakan mereka sudah berada di lapangan terbang dengan harapan dapat menuju ke destinasi yang dituju, namun sebaliknya berlaku.
Lebih memilukan MYAirline tidak menghantar petugas untuk memaklumkan hal yang berlaku kepada pemilik tiket penerbangan.
Tindakan itu menunjukkan organisasi berkenaan tidak bersikap profesional kerana membiarkan mereka mencari solusi dengan sendirinya.
Oleh yang demikian, diharapkan MYAirline akur arahan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang mengarahkan syarikat penerbangan itu menghentikan segera jualan dan tempahan tiket di semua platform tempahan hingga notis selanjutnya.
Mavcom dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, MYAirline juga perlu bertanggungjawab membuat bayaran balik kepada pengguna yang telah membeli tiket penerbangan.
Pengumuman penggantungan operasi sahaja tidak mencukupi sebaliknya pengguna mengharapkan tindakan selanjutnya oleh MYAirline untuk melakukan bayaran balik dengan kadar segera.