JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar tiang di hadapan Istana Pasir Pelangi, di sini, pada Khamis.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, siasatan mendapati lelaki berusia 27 tahun itu memandu kereta seorang diri ketika kemalangan berlaku.
"Kejadian melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang menaiki Mitsubishi Lancer seorang diri dari arah Permasjaya ke arah Johor Bahru.
"Kereta yang dipandunya kemudian terbabas dan melanggar tiang menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Punca kemalangan juga masih dalam siasatan,” katanya.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HAS), untuk bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Firdaus Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 8.26 malam.
Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan tiga unit bermotor bomba (RIM) dengan 14 anggota dari BBP Larkin telah dihantar ke lokasi.
"Kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer yang telah melanggar tiang di bawah jambatan.
"Bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa, bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi,” katanya.