KEHIDUPAN kita sememangnya begitu ‘keras’. Tiada siapa pernah mengungkapkan ia terlalu mudah untuk direntasi. Ini kerana dunia adalah pentas ujian buat setiap insan.
Adakalanya kita berhadapan kesukaran dan kesakitan. Namun, tidak selamanya kita dalam kepayahan, pasti ada detik kesenangan yang dilalui.
Mengertilah, semua itu adalah proses untuk kita mengenal erti bahagia dan rasa syukur atas segala kurniaan ALLAH SWT.
Benar, hadiah ALLAH SWT tidak selalunya datang dalam bungkusan indah. Barangkali ia hadir dalam bentuk masalah, tetapi sarat dengan hikmah.
Lantaran itu, sebagai hamba-NYA, kita diajar supaya tidak mengeluh. Sebaliknya, berlapang dada, berjuang menghadapinya dan bersangka baik dengan segala ketentuan-NYA.
Walaupun sudah dimamah usia melepasi separuh abad, usah sesekali mengendurkan semangat untuk terus berjuang.
Demikian nasihat yang dititipkan oleh pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar pada program Jaulah Mahabbah anjuran Sinar Islam Plus dan Sinar Harian di Masjid Ibn Khaldun Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur, Khamis minggu lalu.
Ini kerana, katanya, Nabi Muhammad SAW mula melancarkan misi besar berkenaan saat usia Baginda melepasi 50 tahun.
"Nabi bergerak (berhijrah ke Madinah) pada usianya 53 tahun dan mula berjuang. Baginda mula-mula menyertai peperangan pada usia 54 tahun dalam Perang Badar, Perang Uhud (55 tahun), Perang Khandak (57 tahun), kemudian diikuti Perang Khaibar dan selainnya.
"Lihat, Nabi Muhammad SAW tidak gentar, sebaliknya Baginda berjuang betul-betul. Sebab itulah bertambah usia, maka semakin banyak perjuangan kita,” katanya pada program itu, mengupas topik bertajuk Misi Ummah Sejati, Penerus Perjuangan Rasulullah SAW.
Taktik licik musuh Islam
Tidak dinafikan, pelbagai helah digunakan bagi meruntuhkan semangat juang dan kesatuan umat Islam pada hari ini.
Pengasas Akademi Fathul Qorib itu menjelaskan, rata-ratanya tidak melibatkan peperangan yang nyata, sebaliknya ‘musuh-musuh Islam’ menggunakan helah lain yang lebih licik.
Mengambil contoh dalam Perang Badar, Da’i Fuad menceritakan ALLAH menurunkan malaikat untuk membantu tentera Islam sehinggakan pemimpin utama Quraisy, Abu Sufyan bin Harb gentar.
"Beliau melihat ada orang naik kuda dan berpakaian berwarna putih.
"Abu Sufyan menceritakan betapa beliau gerun dengan orang tersebut. Rupanya yang turun dalam Perang Badar tadi ialah para malaikat.
"Orang Islam apabila berperang, kemuncaknya ALLAH pasti turunkan bantuan. Apatah lagi jika banyak bersujud, berzikir dan berwirid serta mempunyai bala tentera yang teguh. Insya-ALLAH berkat.
"Disebabkan itu pihak musuh tak berani berperang dengan kita. Apa cara mereka rosakkan kita? Mereka akan cipta suatu isu supaya Islam berperang sesama sendiri,” katanya sambil menambah bahawa taktik itu akhirnya yang menjatuhkan agama dan menyebabkan Muslim rebah tersungkur.
Berpegang kepada syariat ALLAH, sunnah Nabi
Dalam pada itu Da'i Fuad turut menyentuh isu perselisihan pandangan yang kerap melanda umat Islam.
Ujar beliau, caranya tidak lain tidak bukan adalah dengan berpegang kepada syariat ALLAH SWT dan sunnah Nabi Muhammad kepada keluarga masing-masing.
"Sekarang, rata-rata orang cari beras 10 kilogram berharga RM26, tetapi kita kena ingat, banyak macam mana pun kita simpan, ia tetap akan habis.
"Ia bukan sahaja dipandang oleh para malaikat, tetapi juga Rasulullah SAW, sehinggakan kediaman jadi tenang dan tenteram,” ungkapnya.
Seperkara lagi, penceramah itu mengingatkan, di dunia ini tiada masa hadapan, tetapi ia merupakan suatu perjalanan.
Sebaliknya, jelas beliau, masa depan yang sebenar adalah sesudah kematian.
"Kepada mereka yang hidup susah, mengertilah ini bukan masa depan anda, tetapi ia adalah perjalanan hidup semata-mata.
"Dunia ini bersifat fana iaitu binasa. Sedangkan masa depan seharusnya bersifat kekal.
"Sebab itu ada orang yang beroleh kejayaan, tetapi tidak kekal sebab dirinya terikat dengan satu perkara yang baharu.
"Namun, andai seseorang masuk ke alam yang kekal iaitu alam baqa’, maka dia akan kekal selama-lamanya,” titipnya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Da’i Fuad berpesan agar umat Islam meneruskan legasi perjuangan Nabi Muhammad SAW selagi hayat dikandung badan.
"Bukan itu sahaja, jangan kedekut untuk sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW,” pesan beliau.