Mengaku cintakan Nabi Muhammad, bibir dan perlakuan mesti seiring

Iklan
AMALKAN cara hidup Islam dan sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. -Foto: 123RF

TIDAK memadai jika hanya bibir mengungkapkan lafaz cinta kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi hati tidak selari.

Dalam Islam, mencintai Rasulullah perlu dimanifestasikan dalam bentuk perlakuan.

Iklan
Iklan

Jelas Naqib yang juga Ketua Imam Masjid Ibn Khaldun Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur, Ustaz Abdul Halim Abdullah, mereka yang mengaku menyayangi Rasulullah mesti berusaha mengikuti teladan Baginda dalam segenap aspek kehidupan.

USTAZ ABDUL HALIM

Iklan

"Cara mereka luahkan rasa tersebut bergantung kepada sejauh mana kesedaran seseorang dalam beragama, pemahaman tentang Islam dan tahap pendidikan mereka,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Walaupun setiap insan tidak terlepas daripada melakukan dosa, tetapi Ustaz Abdul Halim menjelaskan, terdapat beberapa pendekatan yang boleh membantu menyuburkan rasa cinta kepada nabi dan rasul terakhir umat Islam.

Iklan

Antaranya termasuklah mendalami sirah Nabi Muhammad sepanjang mengembangkan dakwah Islam, selain nilai-nilai dan pengorbanan serta kelembutan akhlak Baginda dalam bermuamalah dan menerajui negara, ungkapnya.

"Bukan itu sahaja, bacalah hadis-hadis Rasulullah yang begitu sarat dengan kisah-kisah kehidupan peribadi Baginda dan adab untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan, di samping menghidupkan sunnahnya.

Kumpul sumber yang baik

TIDAK memadai andai seseorang mengungkapkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW pada bibir, tetapi tidak menzahirkannya dalam bentuk perlakuan dan tindakan kita.

Pun demikian, pada zaman media sosial yang berpengaruh ketika ini, terlalu banyak ‘gangguan’ terhidang di depan mata.

Bagaimana langkah terbaik untuk menapis program berunsur lagha demi mempertahankan syariat ALLAH yang diperturunkan oleh Nabi Muhammad?

Menjawab persoalan itu, Ustaz Abdul Halim menjelaskan, mahu atau tidak setiap individu perlu peka bahawa bukan semua kandungan online itu serasi dengan nilai Islam.

"Jadilah pengguna yang bijak dan manfaatkan platform tersebut untuk tujuan produktif dan mendidik, selain mengehadkan waktu berhibur.

"Pada masa sama, kumpulkan sumber yang baik dan boleh dipercayai serta sekat rujukan tidak sesuai. Di samping itu, gunakan teknologi informasi dengan menggunakan aplikasi tertentu bagi membantu menguruskan penggunaan media sosial.

"Paling penting, bertawakallah kepada ALLAH SWT. Mohonlah kepada-NYA agar memberikan kita petunjuk dan kekuatan untuk menjaga nilai-nilai Islam dalam dunia media sosial,” pesan beliau.

Apa jua yang dilakukan, Ustaz Abdul Halim mengingatkan agar tetap bermujahadah untuk terus memartabatkan agama Islam dengan penuh keikhlasan.

EDITOR Sinar Islam Plus, Muhd Azman Mohd Nawi (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Naqib yang juga Ketua Imam Masjid Ibn Khaldun Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur, Ustaz Abdul Halim Abdullah (tengah) pada program Jaulah Mahabbah baru-baru ini.

Kekal dalam jalan yang lurus

Bagi membantu umat Islam terus berada pada jalan yang lurus, katanya, pertama sekali ia memerlukan ilmu dan pemahaman mendalam tentang akidah, ibadah dan akhlak.

"Dengan cara itu, ia akan mengukuhkan keyakinan diri, sekali gus membantu menjalani perjuangan hidup dengan lebih baik.

"Tidak dilupakan, dirikan solat dan ibadah yang konsisten untuk menguatkan hubungan dengan Sang Pencipta, di samping bermuhasabah diri dan bertawakal kepada-NYA.

"Satu lagi, jalinkanlah hubungan dengan kelompok orang beriman dan berpegang teguh kepada nilai agama kerana ia sedikit sebanyak akan memberikan sokongan serta inspirasi untuk kekal istiqamah,” katanya.

Mengakhiri kalamnya, Ustaz Abdul Halim berkongsi sepotong doa yang sering dibacakan oleh Rasulullah supaya hati kita ditetapkan atas agama ALLAH iaitu, Ya muqollibal qulub, tsabbit qolbi ‘ala diinik (Wahai ZAT yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-MU).

BERDOALAH kepada ALLAH SWT agar kita tetap teguh dan istiqamah dengan agama-NYA. -Foto: 123RF

"Ingatlah bahawa perjuangan memartabatkan agama adalah usaha sepanjang hayat. Justeru, terus istiqamah meningkatkan keikhlasan dalam niat dan tindakan adalah tanda keimanan yang tinggi.

"Semoga ALLAH memberkati perjuangan kita mempertahankan agama dan meningkatkan kualiti hidup ini,” ungkapnya.

ANEKDOT

Tip menyegarkan semangat untuk terus berjuang

1. Menentukan matlamat yang jelas.

Ia akan memberikan fokus dan tujuan yang kuat untuk kita terus maju.

2. Baca dan pelajari sejarah. Membaca tentang tokoh-tokoh dalam sejarah, termasuk tokoh-tokoh Islam yang hebat dapat memberikan inspirasi besar.

Ketahuilah bahawa mereka menghadapi banyak rintangan, tetapi tidak pernah menyerah!

3. Mencari Inspirasi daripada al-Quran.

JANGAN terlalu kedekut untuk membasahkan lidah dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. -Foto: 123RF

Baca dan renungkan bait-bait kalamullah yang memberikan panduan dan inspirasi. Ayat-ayat tentang keberanian, kesabaran, dan tawakkal (bergantung sepenuhnya kepada ALLAH) dapat menguatkan semangat.

4. Meningkatkan kepatuhan kepada ALLAH SWT.

Kepatuhan kepada ALLAH, di samping memperkuat hubungan dengan-NYA dapat memberikan ketenangan dan semangat yang kuat. Luangkan waktu untuk beribadah dan berdoa secara konsisten.