Bagaimanapun, apabila merujuk istilah ‘berkemampuan’, barang kali ada pihak mungkin tidak jelas mengenai perkara itu. Dalam istilah Arab, ia dikenali sebagai"istita’ah” yang bermaksud kemampuan seseorang untuk menunaikan ibadah haji.
Tidak dinafikan setiap umat Islam berusaha bersungguh-sungguh untuk mencukupkan kemampuan diri untuk menjadi tetamu ALLAH. Namun, ada juga yang bergolok-bergadai dan berhutang demi untuk menunaikan ibadah itu.
Dalam situasi peningkatan kos sara hidup ketika ini, ada umat Islam mengalami kesulitan untuk mencukupkan istita’ah terutamanya dalam soal kewangan. Ada yang mahukan Tabung Haji supaya menambah lagi subsidi haji dan ada pula yang mahu ia dikekalkan.
Hakikatnya, beban yang ditanggung oleh Tabung Haji menyediakan subsidi atau Bantuan Kewangan Haji itu amatlah tinggi bagi memastikan setiap umat Islam khususnya kepada para pencarum dengan institusi itu dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Berdasarkan statistik pada tahun 2022, jumlah Bantuan Kewangan Haji yang disalurkan oleh Tabung Haji adalah berjumlah RM185 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM400 juta pada tahun ini. Malah, Bantuan Kewangan Haji itu dijangka akan melonjak kepada RM500 juta pada tahun 2024.
Sejak dari tahun 2021 sehingga 2022, sebanyak RM2.2 bilion telah dibelanjakan oleh Tabung Haji bagi menyediakan Bantuan Kewangan Haji.
Bagi kumpulan T20, tiada Bantuan Kewangan Haji diberikan pada tahun 2023 dan bakal jemaah haji dikenakan bayaran kos sebenar haji sebanyak RM30,850.
Melihat peningkatan Bantuan Kewangan Haji tersebut, pelbagai pihak termasuk kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan Bantuan Kewangan Haji itu dapat diselaraskan semula supaya tidak memberi kesan kepada Tabung Haji yang turut bertanggungjawab mengagihkan keuntungan yang berpatutan kepada para pendepositnya setiap tahun.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor, ibadah haji merupakan rukun Islam kelima dan mempunyai syarat wajib istita’ah, iaitu berkemampuan dari sudut kewangan, kesihatan dan keselamatan.
Meskipun hukumnya wajib, Wan Salim menyatakan itu ibadah haji tidak semestinya perlu ditunaikan segera. Sebaliknya, ia boleh ditangguhkan pada waktu yang sesuai atau pada masa seseorang Muslim itu sudah cukup kemampuannya.
Namun, seseorang Muslim tidak harus berhutang untuk menunaikan ibadah haji sehingga akhirnya mereka terpaksa menanggung bebanan hutang tersebut.
Malah, beliau memperingatkan bahawa Islam merupakan agama yang penuh rahmah dan berperikemanusiaan serta tidak membebankan manusia.
"Oleh itu, seseorang Muslim diharuskan menangguh terlebih dahulu menunaikan ibadah haji jika mempunyai komitmen ke atas keperluan diri dan keluarga, pembiayaan persekolahan atau pengajian anak-anak,” tambahnya selain menyarankan tanggungjawab hidup keluarga perlu diutamakan dalam suasana inflasi ketika ini.
Kajian semula Bantuan Kewangan Haji
Selain menasihatkan umat Islam yang masih belum cukup istita’ah menangguhkan dahulu niat menunaikan ibadah haji, Wan Salim turut mencadangkan Tabung Haji supaya melaksanakan pemberian Bantuan Kewangan Haji secara bersasar.
Jelas beliau, Tabung Haji mungkin boleh menetapkan pemberian Bantuan Kewangan Haji itu dalam jumlah yang memadai kepada para pendepositnya yang masih belum sampai ke tahap mencukupi.
Dengan cara itu, bebanan Tabung Haji dapat dikurangkan manakala simpanan yang masih berbaki boleh dilaburkan dalam projek menguntungkan kepada umat Islam khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah.
Menurut Wan Salim, selain mengecualikan Bantuan Kewangan Haji kepada golongan T20, Tabung Haji boleh juga memikirkan supaya pemberian tersebut diberikan keutamaan hanya kepada kumpulan B40.
"Tabung Haji tidak sewajarnya dibebankan dalam hal berkaitan pemberian Bantuan Kewangan Haji,” ujarnya.
"Islam menetapkan syarat istita’ah iaitu kemampuan menunaikan haji dan jika tiada kemampuan, tidak perlu pergi lagi. Tetapi jika mampu, rebutlah peluang itu kerana kuota haji untuk jemaah Malaysia terhad,” katanya.
Menurut Harun, sebagai seorang Muslim, mereka sebenarnya mempunyai tanggungjawab dan perlu berusaha untuk melaksanakan segala syariat yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT.
Justeru, beliau menyarankan kepada mereka yang masih menunggu panggilan untuk mengerjakan ibadah haji supaya berusaha melengkapkan kemampuan diri masing-masing selaras dengan konsep istita’ah itu.
"Saya tidak menolak kemungkinan kos mengerjakan haji akan berlaku sedikit pertambahan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bagaimanapun, kadar kenaikan itu munasabah susulan peningkatan harga barangan, makanan, Cukai Nilai Tambah (VAT) dan kos gaji pekerja di sana (Arab Saudi),” ujarnya.
Sementara itu, Tabung Haji dan kerajaan disarankan supaya melaksanakan kajian semula pemberian Bantuan Kewangan Haji melibatkan golongan berpendapatan M40.
Saranan itu dikemukakan seorang pekerja swasta, Fazrul Izwan Azaman, 37, yang mana kajian semula itu mungkin boleh melibatkan pemansuhan Bantuan Kewangan Haji kepada golongan M40 yang dirasakan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan ibadah itu berbanding B40.
"Pendapatan isi rumah golongan M40 adalah di antara RM4,851 sehingga RM10,970 sebulan dan saya fikir mereka ini mampu menyimpan di Tabung Haji sehingga cukup istita’ah dalam tempoh masa lebih pendek berbanding B40,” jelasnya.