KUALA SELANGOR - Hukuman penjara sesungguhnya telah mengubah kehidupan seorang pesalah muda yang menyimpan tekad meraih kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
Demikian tekad Osman (bukan nama sebenar), 18, yang menjalani hukuman di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam atas kesalahan membunuh seorang lelaki pada 23 Januari 2021.
Katanya, kejadian itu telah banyak memberikan keinsafan yang amat mendalam terhadap dirinya.
"Sesungguhnya, saya telah bertaubat dan menyesali apa yang telah berlaku. Saya bersyukur kerana diberikan peluang kedua dan menjalani kehidupan yang baik di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Osman berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Penutup Program Hijrah Kasih Kali ke-13 di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam, di sini pada Rabu.
Tambah Osman, dia ketika ini sedang menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan SPM dan mahu memperoleh keputusan cemerlang sebagai ‘hadiah istimewa’ untuk keluarganya.
"Keluarga amat penting buat saya. Sungguhpun apa yang telah terjadi sebelum ini, mereka tetap memberikan sokongan dan semangat kepada saya,” katanya lagi.
Hanyut
Menceritakan kisah hidupnya di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam, Osman yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu tidak menafikan ia telah memberi banyak hikmah buat dirinya.
"Sewaktu saya meningkat usia remaja, terlalu banyak dosa saya lakukan. Saya selalu berpeleseran setiap malam, merempit dan buat tatu di tangan.
"Saya hanyut. Saya tinggalkan perintah ALLAH SWT, tinggalkan solat, tidak pernah kenal masjid...saya leka dengan kenikmatan dunia,” jelasnya dengan nada suara yang sayu.
Menurut Osman, walaupun mempunyai kisah silam yang amat memeritkan, namun dia tetap bersyukur kerana sekolah integriti itu telah membentuk kehidupannya untuk menjadi seorang insan lebih baik.
"Di sini, saya mula menunaikan solat dan belajar agama serta mengamalkan diri untuk sentiasa berwuduk. Saya akui, perasaan rindu kepada keluarga amat kuat, saya mahu membalas jasa ibu,” luahnya.
Pembangunan sahsiah dan jati diri
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika berucap dalam majlis itu memberitahu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memberikan penekanan aspek karamah insaniah dalam pembangunan sahsiah serta pengukuhan jati diri murid melalui pelbagai program yang dilaksanakan oleh kementeriannya.
Usaha KPM itu katanya tidak terkecuali di sekolah-sekolah integriti di bawah kelolaan Jabatan Penjara Malaysia menerusi Program Hijrah Kasih.
"Tumpuan KPM antara lain menekankan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti. Sahsiah yang mulia serta jati diri yang kuat mampu menghindarkan diri daripada pelbagai gejala negatif, tegas beliau.
Kata Fadhlina lagi, selain sekolah integriti, komitmen KPM itu turut meliputi sekolah dalam hospital, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), sekolah komprehensif 9 dan 11 serta sekolah model khas KPM.
Mengulas lanjut mengenai Program Hijrah Kasih Kali ke-13, Fadhlina berkata, program itu mula dilaksanakan pada tahun 2011 dan pada kali ini ia dilaksanakan di Sekolah Integriti Pusat Koreksional Puncak Alam membabitkan 70 orang penghuni yang terdiri daripada pesalah muda.
"Program ini berlangsung selama tiga hari dua malam. Antara pengisian program adalah pemantapan akidah di samping pengukuhan asas-asas syariat dan penghayatan nilai-nilai murni,” jelasnya.
Dalam pada itu, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abd Razak berkata, proses pendidikan korektif di sekolah integriti tidak hanya memfokuskan kepada landasan akademik sahaja, tetapi turut didokong dengan agenda pendidikan manusiawi.
Katanya, penjara bukanlah penamat segala impian manakala kerjasama dengan pihak KPM itu memberi impak serta sinar harapan kepada para penghuni.
"Saya yakin, usaha berterusan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, pembangunan semula diri anak-anak yang pernah tersilap langkah ini mampu dibentuk supaya sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya.