GAZA - Di tengah-tengah konflik berterusan, kumpulan Hamas menyeru rakyat Palestin terus bangkit hari ini untuk melakukan protes terhadap serangan Israel ke atas Gaza.
Dalam masa sama, Hamas menggesa rakyat negara itu berhimpun di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan sama-sama berjuang menentang tentera rejim Zionis di Tebing Barat yang diduduki.
Tentera Israel berterusan membedil Gaza bertalu-talu dengan serangan udara serta tembakan artileri susulan Hamas bertindak balas melancarkan serangan mengejut pada Sabtu lalu.
Sehingga kini, angka korban rakyat Palestin mencecah lebih 1,500 orang sementara 1,300 nyawa rakyat Israel juga sudah diragut.
Sementara itu, keganasan di Gaza turut mencetuskan ketegangan di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat dengan tentera Israel telah membunuh sekurang-kurang 34 rakyat Palestin dalam pertempuran sejak Sabtu minggu lalu, kata pegawai Palestin.
Hamas dalam satu kenyataan menyeru 'mobilisasi awam' menggesa rakyat Palestin mengadakan bantahan di pekarangan Masjid Al-Aqsa dan bertahan di situ sepanjang hari ini dengan umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Kawasan Masjid Al-Aqsa adalah tempat ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah.
Bagaimanapun, Yahudi memanggilnya Temple Mount iaitu lokasi yang dianggap sebagai paling suci kepada penganut mereka.
Pertempuran di pekarangan itu mencetuskan perang Israel-Gaza selama 11 hari pada Mei 2021.
Hamas turut meminta rakyat Palestin di Tebing Barat untuk 'berdemonstrasi, bergerak dan bertempur' dengan tentera rejim Zionis serta pendatang Israel.
Sementara itu, tentera Israel yang turut berdepan tentangan pejuang di sempadan utara di Syria dan Lubnan tidak memberikan komen setakat ini. - Reuters/Awani