SKUAD muda negara, AMD DREAM mencipta sensasi melangkah ke pentas final kategori bawah 13 tahun Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2023.
Ia selepas skuad kendalian Azmi Arifin itu menewaskan Evergrande Football School, 2-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang pada Jumaat.
Menurut Azmi, kejayaan melangkah ke pentas final adalah hasil usaha keras pemainnya yang ternyata mempamerkan semangat juang inginkan kemenangan.
"Syukur Alhamdulillah, pemain kita beraksi dengan baik dan yang paling ketara adalah mentality kemenangan yang ketara, bukan senang hendak menewaskan pasukan yang berpengkalan dari China ini dan pemain saya telah membuktikannya.
"Ini adalah kejayaan bersama dan lebih banyak lagi kerja perlu dilakukan khususnya pada pentas final esok,” katanya.
Pertembungan kedua-dua pasukan ini sememangnya dinantikan dengan reputasi pasukan yang mengungguli kedudukan dua terbaik dalam Kumpulan A dan B dengan corak permainan berhati-hati dipamerkan kedua-dua pasukan.
Separuh masa pertama menyaksikan AMD DREAM lebih banyak menguasai permainan khususnya dibahagian tengah dengan lawan dilihat cenderung kepada permainan bertahan dan hanya melakukan serangan balas.
Bersambung babak kedua, corak permainan lebih menarik dan menyakinkan mula dipamerkan sekali gus memberi tekanan kepada lawan dari pelbagai sudut.
Usaha keras dan semangat berpasukan dipamerkan pemain AMD DREAM akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Haziq Zamin menjaringkan gol pertama pada minit ke 36 sebelum Muhammad Harraz Ajwad meledak gol kedua pada minit ke 42 dan seterusnya menoktahkan kemaraan ke pentas separuh akhir.
Kejayaan ini memastikan AMD DREAM akan bersaing dipentas final berdepan pasukan KKS Lech Poznan yang telah menewaskan Zhejiang Professional FC pada satu lagi aksi separuh akhir.
Ditanya mengenai corak permainan pasukan khususnya pada separuh masa kedua sehingga dua gol terhasil, Azmi menyifatkan ia adalah taktikal yang sememangnya dirancang.
"Kami melihat aksi pertama, lawan lebih banyak bertahan dan kami terus memberi tekanan dari segenap lapisan, usaha keras ini berhasil dengan dua gol terhasil,” tegasnya yang akan memperkemaskan gerakan penyudah serta bertahan pasukan.
Dalam satu lagi pertembungan peringkat separuh akhir, Lech Poznan FC mara ke pentas final selepas mudah membenam cabaran Zhejiang Professional FC, 5-1.
Kategori 14 pula memperlihatkan SSBJ mara ke pentas final dengan menewaskan AMD DREAM menerusi penentuan sepakan penalti 2-4 selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 masa permainan. Satu lagi slot separuh akhir kategori B14 menjadi milik juara bertahan, Buriram United selepas tidak berdepan masalah membenam cabaran Shonan Bellmare 3-0.
Bagi kategori bawah 12 tahun pula NFDP A dan Johor Darul Ta’zim melangkah ke pentas final selepas menewaskan lawan masing-masing diperingkat separuh akhir. NFDP menang ke atas NFDP B dengan keputusan 3-1 manakala JDT menewaskan Zhejiang Professional FC,2-1 memastikan mereka dipentas final.
Berikut keputusan penuh perlawanan peringkat separuh akhir yang berlangsung hari ini:-
Bawah 14 Tahun
Separuh akhir
AMD Dream 1 – 1 SSBJ
(SSBJ menang penalti 4-2)
Buriram United 3 – 0 Shonan Bellmare
Separuh akhir plate
Spartak Trnava 1 - 2 NK Osijek
Piraya Football Academy 2 – 4 AMD Future
Bawah 13 Tahun
Separuh akhir
AMD Dream 2 – 0 Evergrande Football School
KKS Lech Poznan 5 – 1 Zhejiang Professional FC
Separuh akhir Plate
Chonburi 5 – 1 AMD Future
Hongkong FA 2 – 3 Fagiano Okayama
Bawah 12 Tahun
Separuh akhir
NFDP A 3 – 1 NFDP B
JDT 2 – 1 Zhejiang Professional FC
Separuh akhir plate
NFDP C 7 – 3 Apuesto Bueno FC
NFDP D 2 – 3 Asiop Football Academy