KLN sedia sampaikan bantuan kemanusiaan Palestin melalui Mesir

Iklan
Kenyataan KLN pada Jumaat

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) sedia untuk menyertai usaha antarabangsa dalam menyampaikan bekalan dan bantuan kemanusiaan dengan kemudahan penuh daripada Kerajaan Mesir melalui sempadan antara Rafah-Gaza.

Iklan
Iklan

KLN dalam kenyataan berkata, kesediaan itu susulan serangan tentera Israel ke atas Gerbang Salah al Din di sempadan Rafah, Palestin.

"Malaysia menyahut seruan Mesir yang menggesa Israel menghentikan segera serangan ke atas Gerbang Salah al Din di sebelah Palestin di sempadan Rafah, supaya penghantaran bekalan kemanusiaan boleh dilaksanakan segera kepada penduduk yang terjejas di Gaza demi kemanusiaan.

Iklan

"Malaysia bersedia untuk menyertai usaha antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bantuan bekalan dengan kemudahan penuh daripada Kerajaan Mesir melalui Rafah-Gaza melintasi pusat pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, media melaporkan Mesir menggesa Israel membuka koridor kemanusiaan untuk 2.3 juta penduduk di kawasan itu untuk melarikan diri daripada situasi semasa yang dikatakan paling buruk dalam tempoh 75 tahun sejak permulaan konflik Israel dengan Palestin.

Iklan

Gesaan itu dibuat susulan serangan udara Israel dan tembakan artileri melanda kawasan sempadan Rafah antara Mesir dan Semenanjung Gaza sekaligus mengganggu operasi di satu-satunya pintu keluar di sempadan selatan wilayah tersebut.

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, Malaysia turut memuji peranan penting kerajaan Mesir dalam memastikan urusan penyampaian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui sempadan Rafah-Gaza itu berjaya serta selamat.

"Saluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan adalah penting ke arah kelangsungan hidup rakyat Palestin yang kini menghadapi kekurangan keperluan asas yang besar disebabkan oleh sekatan menyeluruh oleh rejim Israel,” jelasnya kenyataan tersebut.