MyFundAction: Tiada bayaran kos operasi tanda solidariti kepada Palestin

Iklan
Siti Aisyah ketika misi kemanusiaan di luar negara.

SHAH ALAM - Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) tidak mengenakan sebarang bayaran untuk kos operasi bantuan kecemasan susulan peperangan yang sedang berlaku antara Palestin dan rejim Zionis sebagai tanda solidariti.

Ketua Pegawai Operasinya, Siti Aisyah Shahid berkata, langkah itu dibuat berikutan penularan isu kutipan kos operasi dana solidariti untuk Palestin oleh badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang diselar oleh rakyat Malaysia baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MyFundAction telah menolak untuk menerima kos operasi projek di Palestin sejak tahun 2020 lagi.

"Setakat hari ini dua projek lestari sedang kami jalankan termasuklah projek anak angkat Palestin yang ditaja oleh rakyat Malaysia dan projek pembinaan hospital di Om al-Kheir, Tebing Barat selain 20 lagi projek lain berbentuk sekali beri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Dalam pada itu, Siti Aisyah memberitahu, wang solidariti rakyat Malaysia akan disalurkan untuk pembelian bahan api bagi menjana operasi hospital, ambulans, bantuan perubatan dan peralatan hospital serta bantuan makanan kepada Palestin.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut meminta rakyat Malaysia untuk bersolidariti bersama-sama dalam memberi sokongan kepada Palestin.

Iklan

"Kami amat mengalu-alukan sokongan dan kesudian mana-mana syarikat korporat, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), NGO atau individu perseorangan sekiranya ingin berkolaborasi bagi membantu saudara kita yang terlibat dengan peperangan ini,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank, MyFundAction 564294307891 dengan rujukan Palestine.