Laungan hidup Palestin, hancur Zionis bergema di Ipoh

Iklan
Kira-kira 300 orang menyertai Himpunan Solidariti Palestin di luar pekarangan Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak pada Jumaat.

IPOH - Kira-kira 300 peserta berhimpun di luar perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak di sini dalam Himpunan Solidariti Palestin pada Jumaat.

Program anjuran Persatuan Cakna Rakyat Perak itu disertai jemaah masjid sejurus selesai solat Jumaat dan solat sunat hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Setiausaha Persatuan Cakna Rakyat Perak, Nurhafizul Badrul Hisham berkata, penganjuran program tersebut sebagai tanda sokongan terhadap umat Islam serta penduduk di Palestin.

"Kita mahu tunjukkan kepada dunia bahawa Palestin tidak berseorangan dan kekejaman Israel harus diambil tindakan," katanya selepas Himpunan Solidariti Palestin itu.

Iklan
Muhammad Nabil (dua dari kanan) menyerahkan lilitan kepala kepada jemaah Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk selepas Solat Jumaat.

Himpunan selama kira-kira 45 minit itu dimulakan dengan sesi pemidato oleh beberapa penceramah diikuti doa Wirdah dan doa Qunut Nazilah.

Pada majlis itu turut diadakan kutipan sumbangan buat rakyat Palestin yang akan disalurkan ke tabung bantuan Palestin.

Iklan

Sementara itu, di Bagan Datuk, sebanyak 300 lilitan kepala 'Save Palestin' diedarkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk kepada jemaah selepas solat Jumaat di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Muhammad Nabil Saleh berkata, pemberian lilitan kepala itu sebagai solidariti terhadap masyarakat di Gaza, Palestin.