PASIR GUDANG - Pencemaran Sungai Masai di sini bulan lalu kini berulang apabila airnya berwarna hitam dan berbau busuk sejak petang Rabu.
Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad berkata, penduduk berhampiran sungai tersebut baru mahu menarik nafas lega tetapi dikejutkan lagi dengan pencemaran terbaharu itu dalam masa singkat.
Beliau berkata, pencemaran sungai itu kali ini lebih teruk berbanding bulan lepas.
"Warna airnya hitam legam dengan bau busuk yang sangat meloyakan. Sehinggakan nelayan nak turun ke sungai untuk ke laut pun macam tak sanggup tetapi terpaksa demi mencari rezeki.
"Kawasan pencemaran kali ini lebih jauh. Ini membuatkan nelayan berdekatan terpaksa menangkap hasil laut di kawasan lebih jauh sehingga ke perairan Pengerang, Kota Tinggi," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu bukan sahaja meresahkan nelayan tetapi juga penduduk kampung berkenaan kerana penempatan mereka begitu hampir dengan sungai.
Daud mendakwa, ini merupakan pencemaran sungai kali kelapan berlaku pada tahun ini.
Bagaimanapun katanya, isu itu masih belum ada penyelesaian konkrit walaupun sebelum ini dikatakan sudah dapat mengenal pasti puncanya.
"Kami sudah bosan dengan keadaan ini yang berlaku sejak berpuluh tahun lalu, tak selesai-selesai.
"Bayangkan Johor sudah beberapa bertukar kerajaan dan menteri besar pun dah lima enam kali tukar tetapi masalah tetap tidak selesai.
"Dalam masa terdekat kita akan panggil pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pegawai Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan penghulu untuk mencari penyelesaian. Kalau tak jalan juga kita akan juga menteri besar," katanya.
Katanya, menerusi tinjauan dilakukan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz dengan menggunakan bot menyusuri sungai berkenaan pada Khamis, pencemaran didakwa berpunca loji kumbahan dari taman berdekatan.
"Menerusi tinjauan ini boleh nampak air hitam keluar berdekatan dari loji kumbahan itu masuk ke dalam Sungai Masai," katanya lagi.
Sementara itu, Azli mendakwa, pencemaran di sungai tersebut sudah berlaku lebih satu dekad tetapi sehingga kini jabatan berkaitan masih menjalankan siasatan dan tidak mampu mengenal pasti punca sebenar pencemaran ini.
"Penduduk mahupun nelayan ingin mengetahui sama ada ia berpunca daripada loji mahupun bahan buangan dari kawasan perindustrian.
"Bayangkan masalah ini sudah berlaku lebih 10 tahun lalu dan ratusan kali sampel diambil, namun sehingga kini punca tidak dapat dikenal pasti.
"Baunya busuk dan meloyakan, air sungai berubah menjadi hitam yang dikhuatiri beracun kerana mengakibatkan hidupan laut pupus," katanya.
Pada 14 September lalu, Sinar Harian melaporkan isu pencemaran di Sungai Masai yang berlaku sejak 11 September.
Susulan itu, pelbagai agensi antaranya JAS dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) meninjau keadaan sungai berkenaan.
Sementara itu, Pengarah JAS, Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kes pencemaran terbaharu itu masih disiasat.
"Keadaan sungai hari ini didapati masih sama," katanya ketika dihubungi.