SHAH ALAM - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menerima sijil dari Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi ‘Largest Simultaneous Fish Fry Restocking Event’ melalui program pelepasan 1.1 juta benih ikan asli serentak di 14 lokasi terpilih.
Unit Komunikasi Korporat DOF berkata, pelepasan benih yang dilakukan itu dapat menambah stok perikanan seterusnya meningkatkan populasi dan memulihara kepelbagaian biodiversiti.
Iklan
Iklan
"Acara ini juga adalah kerjasama antara DOF, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Pertanian Sarawak dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.
"Antara benih ikan yang dilepaskan ialah kelah, lampam sungai, temoleh, terbul dan udang galah,” katanya pada Jumaat.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali di Tepian Tasik, Putrajaya.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Abdullah Hasan, serta Naib Presiden Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya, Shamsul Bahrin Rahmat.
Tambahnya, antara pengisian program ialah pameran oleh Sektor Perikanan Darat seperti pameran peralatan yang dilarang, spesies ikan asli dan asing, pertunjukan demonstrasi masakan Pai Tee Latok dan uji rasa menu berasaskan perikanan.