Betulkan persepsi negatif terhadap pejuang Palestin

Iklan
Himpunan Aman Solidariti Ummah Palestin mendapat sambutan dan berjalan dengan lancar di pekarangan Masjid Saidina Umar al-Khattab, Cenderawasih di Kuantan pada Jumaat.

KUANTAN - Seluruh umat Islam termasuk di negara dan negeri ini perlu memainkan peranan untuk memperbetulkan segala salah faham, persepsi negatif dan fitnah terhadap pejuang Palestin yang dilabel sebagai pengganas.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, tanggapan negatif itu perlu ditangkis dan diperjelaskan terutama kepada orang-orang bukan Islam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perjuangan mujahidin Palestin atau pejuang Hamas melawan Israel bukan tindakan pengganas sebaliknya sebagai tindak balas dalam menuntut hak-hak mereka yang dirampas rejim Zionis itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Himpunan Aman Solidariti Ummah Palestin di pekarangan Masjid Saidina Umar al-Khattab, Cenderawasih di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir Ketua Penerangan Pas Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya dan Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih.

Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, sokongan terhadap rakyat Palestin bukan hanya sekadar laungan solidariti semata-mata sebaliknya usaha berterusan perlu digerakkan bagi membantu rakyat negara itu.

Iklan

"Umat Islam perlu bersama-sama membantu sama ada melalui sumbangan dana atau tenaga dalam misi bantuan yang akan digerakkan pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) selepas ini," ujarnya.

Beliau berkata, Pas Pahang melalui Jabatan Amal dan Pas Relief akan menggerakkan kutipan sumbangan untuk tabung Palestin.

"Kutipan sumbangan itu akan dibuat secara berterusan memandangkan kita tidak dapat pastikan bila konflik Palestin-Israel itu akan berakhir.

"Kalau perang tamat sekali pun, dana besar diperlukan rakyat Palestin untuk menyediakan keperluan dan membina semula segala kemudahan yang musnah," katanya.

Sementara itu, Andansura berpuas hati dengan sambutan orang ramai terutama golongan muda pada himpunan aman itu.

Cuaca panas tidak menghalang orang ramai berkumpul pada Himpunan Aman Solidariti Ummah Palestin.

"Walaupun terpaksa berdiri dalam keadaan cuaca panas terik, mereka tidak berganjak sebaliknya terus bersemangat untuk bersama-sama bersolidariti untuk Palestin," ujarnya.