KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024, tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan bertemakan 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' itu adalah dasar penting dan menyeluruh, selain memacu pertumbuhan ekonomi serta membela rakyat.
Menurutnya, Belanjawan Madani Kedua itu juga menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara serta rakyat.
"Perbelanjaan ini juga melibatkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.
"Penambahan ini menunjukkan kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang ‘expansionary fiscal stance’ walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, Belanjawan Madani Kedua adalah sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi Madani.
Jelasnya, semua usaha yang dirangka akan menyusul setiap keutamaan dan penanda aras Ekonomi Madani yang dicerakinkan kepada tiga tumpuan utama, iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan serta peningkatan darjat hidup rakyat.
"Belanjawan ini juga merupakan suatu pernyataan iltizam kerajaan bagi memulihkan ekonomi dalam marcapada yang serba mencabar.
"Kerajaan terbuka mendengar pandangan dan kritikan dari segenap pihak, namun tidak bermakna sewenangnya bebas melemparkan fitnah.
Ditambah dengan cabaran ekonomi global serta geopolitik yang menggusarkan, sikap ini sedikit sebanyak menghambat kemajuan bangsa kita.
"Justeru, saya mengajak semua agar kita kembali kepada politik yang membina, memupuk semangat ‘segulai sejala’ membangunkan semula negara kita.
Kita semua cintakan negara ini,” katanya.
Ujar beliau, Malaysia mempunyai potensi yang hebat, kekayaan hasil mahsul, tenaga pekerja dan profesional serta rakyat yang berdaya saing.
Katanya, ia mampu meletakkan negara pada kedudukan strategik sebagai peneraju ekonomi Asia sebagaimana yang dicita-citakan.
"Justeru, saya menyeru agar kita mengutamakan masa depan negara.
Perpaduan rakyat yang berteraskan sikap ihsan dan saling menghormati, akan menghasilkan kestabilan buat negara.
"Ini penting agar kerajaan mampu menjana kemakmuran buat seluruh rakyat.
Setelah enam dekad negara kita berdaulat, inilah masanya kita memperbetul keadaan dan memastikan bahawa setiap rakyat dapat mengecapi rasa bahagia dan aman hidup di negara ini tanpa sesekali merasa disisihkan,” katanya.
Cukai perkhidmatan naik lagi 2 peratus
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bercadang menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus dan memperkenalkan cukai baharu mulai tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai baharu yang akan dilaksanakan itu adalah cukai keuntungan modal, cukai barang bernilai tinggi, selain cukai minimum global yang akan berkuat kuasa pada tahun 2025.
Menteri Kewangan itu menegaskan, langkah reformasi percukaian tersebut akan dilakukan bagi meluaskan asas hasil negara dan tidak membebankan majoriti rakyat.
"Kerajaan bercadang menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus ketimbang (berbanding) enam peratus sekarang. Namun, agar tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.
"Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik yang kekal enam peratus dan selainnya pembrokeran, penajajaminan dan kelab-kelab karaoke," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini, pada Jumaat.
Anwar memberitahu, setelah mengambil kira input pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan, kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.
Menurutnya, kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti Initial Public Offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.
"Kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan cukai barang bernilai tinggi pada kadar lima hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.
"Tapi untuk maksud menggalakkan pelancongan, ia tidak dikenakan kepada pelancong dan beberapa peraturan diperkenalkan supaya pelancong boleh mengutip pulangan cukai itu sebelum berlepas ke luar negara," ujarnya.
Anwar menambah, Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.
"Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, kerajaan dijangka akan melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro," ujarnya.
Katanya, kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa.