'Saya masih hidup' - Pengurus MyCARE Gaza

Iklan
Foto Facebook Dr-Ziad Shehada

JOHOR BAHRU -"Saya masih hidup. Saya sedang mencari kawasan yang mempunyai liputan Internet untuk membawa perkembangan terbaharu kepada anda semua."

Hantaran itu dimuat naik oleh Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada di laman Facebook beliau hari ini, secara tidak langsung menceritakan perkembangan di Semenanjung Gaza yang sedang mendepani konflik keganasan dan kemanusiaan.

Iklan
Iklan

Ketika dihubungi Bernama, Penasihat Kehormat MyCARE, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, Ziad sentiasa berhubung dengan ibu pejabat MyCARE di sini sekalipun berdepan kesukaran komunikasi kerana liputan Internet yang tidak stabil.

"Beliau menghubungi MyCARE dari semasa ke semasa untuk berkongsi perkembangan, bergantung pada status liputan Internet. Ziad menyatakan mereka amat sukar bergerak dan berdepan kemungkinan diserang pada bila-bila masa,” katanya.

Iklan

"Mereka hidup hari ke hari, tidak tahu apa yang bakal berlaku seterusnya,” tambah beliau.

Menurut Hafidzi, langkah rejim Israel menyekat penghantaran makanan serta memutuskan bekalan utiliti ke kawasan bergolak itu, menyukarkan penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin.

Iklan

"Kita jangkakan keadaan buruk berlaku dalam masa terdekat sekiranya bantuan kecemasan tidak dapat disalurkan dengan segera kerana bekalan makanan dan ubat-ubatan dijangka habis dalam sehari dua ini,” katanya.

Beliau berkata, hingga kini pihaknya berjaya mengumpulkan lebih RM700,000 daripada rakyat Malaysia, dan sejak hari pertama pertempuran, pertubuhan kemanusiaan itu telah menyalurkan bantuan perubatan bernilai US$20,000.

"Sebenarnya kita (rakyat Malaysia) dan seluruh umat Islam (dunia) yang sedang diuji, untuk melihat sejauh mana kita memberi sokongan moral dan material kepada rakyat Palestin,” kata beliau, meminta rakyat negara ini terus mendoakan keselamatan penduduk Palestin yang semakin sengsara akibat tindakan terbaharu Israel itu.

Pertempuran di Palestin yang melibatkan Hamas, iaitu pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel yang kini masuk hari keenam, telah mengorbankan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak.

Kementerian Kesihatan Palestin hari ini melaporkan jumlah kematian di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat telah mencapai 1,567 orang dengan lebih 7,000 cedera. - Bernama