Belanjawan 2024: Anwar ajak pemimpin ‘segulai sejalai’

Iklan
Anwar bersalaman bersama barisan kabinet semasa meninggalkan dewan persidangan selepas membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani pada Jumaat. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua pemimpin agar kembali kepada politik yang membina dan memupuk semangat ‘segulai sejalai’ membangunkan semula negara.

Frasa ‘segulai sejalai’ dikatakan berasal daripada bahasa Iban di Sarawak, yang bermaksud seiring sejalan.

Iklan
Iklan

"Kita semua cintakan negara ini.

Malaysia punyai potensi yang hebat, kekayaan hasil mahsul, tenaga pekerja dan profesional serta rakyatnya yang berdaya saing.

Iklan

Ia mampu meletakkan kita pada kedudukan strategik sebagai peneraju ekonomi Asia sebagaimana yang dicita-citakan.

"Justeru, saya menyeru agar kita mengutamakan masa depan negara.

Iklan

Perpaduan rakyat yang berteraskan sikap ihsan dan saling menghormati, akan menghasilkan kestabilan buat negara.

Ini penting agar kerajaan mampu menjana kemakmuran buat seluruh rakyat.

"Setelah enam dekad negara kita berdaulat, inilah masanya kita memperbetul keadaan dan memastikan bahawa setiap rakyat dapat mengecapi rasa bahagia serta aman hidup di negara ini tanpa sesekali merasa disisihkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Tambah Anwar, belanjawan kali ini merupakan suatu pernyataan iltizam kerajaan bagi memulihkan ekonomi dalam marcapada yang serba mencabar.

Kerajaan katanya, terbuka mendengar pandangan dan kritikan dari segenap pihak, namun tidak bermakna sewenangnya bebas melemparkan fitnah.

"Ditambah dengan cabaran ekonomi global dan geopolitik yang menggusarkan, sikap ini sedikit sebanyak menghambat kemajuan bangsa kita,” katanya.

Belanjawan 2024: Kerajaan mahu pelopori peralihan sistem kewangan Islam lebih syumul

Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan akan memulakan usaha mempelopori peralihan kepada sistem kewangan Islam yang lebih syumul dengan penganjuran Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF203) pada Disember 2023.

Menurutnya, antara usaha itu ialah melaksanakan pelarasan semula sistem kewangan Islam bagi memperkasa impak sektor tersebut agar berpeluang memberikan kesaksamaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada masyarakat.

"Melalui Amalan Perantaraan Berasaskan Nilai, bank Islam dan pengendali takaful pula mampu menerokai inovasi berimpak menerusi penawaran pelbagai jenis modal yang memenuhi keperluan rakyat khususnya mereka yang terpisah daripada akses kepada perkhidmatan kewangan.

"Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan Islam juga sedang memajukan program rintis pelaburan berimpak melalui Akaun Pelaburan yang lebih meluas.

Alhamdulillah, Malaysia kekal pada kedudukan pertama dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) global untuk 10 tahun berturut-turut.

"Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) akan terus memperkukuh daya saing negara dalam bidang kewangan Islam di samping mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi menambah aktiviti pemerolehan dana dan pelaburan Islam serta hab takaful semula,” katanya.

Tambah Anwar, kerajaan juga menyediakan RM20 juta bagi mendalami nilai universal dan merancakkan kajian, kreativiti serta inovasi ekonomi Islam.

"Usaha ini akan diterajui oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dengan penglibatan bersama MIFC dan industri,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Menteri Kewangan itu, kerajaan turut mencadangkan untuk mengecualikan cukai pendapatan daripada Jualan Sekuriti Islam dan Belian 36 (ISSB) mulai tahun taksiran 2024.

Jelasnya, ia bagi meningkatkan keseluruhan jumlah dagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh syariah melalui penglibatan lebih ramai pelabur dan broker dalam transaksi ISSB selain memastikan layanan setara yang diberikan bagi transaksi Sekuriti Pinjaman atau‘Securities Borrowing and Lending’ (SBL).

"Selain itu, dicadangkan pengecualikan cukai pendapatan sepenuhnya selama lima tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan berkaitan kewangan Islam seperti perbankan, bursa dan pengeluar token digital Islam termasuk syarikat berkaitan ummah mulai tahun taksiran 2024

"Ia bagi menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) sebagai hab kewangan Islam dan patuh syariah,” ujarnya.