KERAJAAN memperuntukkan RM72 juta bagi memperkasa ekosistem atlet dalam Program Podium termasuk RM20 juta di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) sebagai persediaan meraih emas sulung menjelang temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan RM12 juta kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.
Ketika mengumumkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi menyelenggara dan menaiktaraf kemudahan belia dan sukan di seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.
"Susulan sambutan tahun ini yang amat menggalakkan, kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta.
"Bagi melahirkan generasi masa depan berpengetahuan, berkemahiran dan berbakat dalam sukan, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan,” katanya.