'Terima kasih PM' - KSN

Iklan
Mohd Zuki (tiga dari kanan) hadir ke Parlimen bagi mengikuti pembentangan Belanjawan 2024.

PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyifatkan bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam RM2,000 yang diterima Februari tahun depan dapat mengurangkan beban kewangan penjawat awam.

Menurutnya, berita gembira itu sekali gus dapat meningkatkan motivasi untuk terus komited melaksanakan tugas serta memperkasa penyampaian perkhidmatan awam.

Iklan
Iklan

"Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di atas kepercayaan dan menghargai khidmat penjawat awam," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, penjawat awam mengenggam tekad untuk bersama-sama merealisasikan pelaksanaan strategi Belanjawan 2024 yang merupakan pemangkin kepada aspirasi Ekonomi Madani dan Malaysia Madani.

Iklan

"Bertepatan dengan tema Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat, Belanjawan 2024 dilihat sebagai kesinambungan yang jelas bagi membina semula ekonomi untuk terus mampan, inklusif dan berdaya tahan serta mampu mendepani pelbagai cabaran domestik dan persekitaran global," ujar Mohd Zuki.

Beliau berkata, cadangan peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM393.8 bilion atau hampir 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan unjuran defisit fiskal 4.3 peratus mampu menyediakan ruang fiskal untuk melaksanakan projek berkepentingan rakyat seperti kemudahan kesihatan, keselamatan, pendidikan dan menambah baik program jaringan keselamatan sosial.

Iklan

"Bagi konteks perkhidmatan awam, kami menyahut cabaran Anwar yang meletakkan harapan kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk mempercepatkan proses dan prosedur kerja melalui perekayasaan semula sistem, meruntuhkan tembok silo antara agensi dan fokus kepada projek touchpoint kepada rakyat," katanya.

Tambah Mohd Zuki, penumpuan khusus pada tahun hadapan terarah kepada agenda menyelenggara kuarters guru, anggota keselamatan, petugas kesihatan dan anggota perkhidmatan awam yang seringkali menjadi keluhan mereka.

"Selain itu, pembaikan lif di premis kerajaan dan membaik pulih kemudahan hospital akan turut diberi keutamaan," katanya.