SHAH ALAM - Belanjawan Madani 2024 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan dapat memastikan kesejahteraan rakyat di negara ini secara lebih menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau dikenali sebagai Altimet berkata, secara umumnya, beliau bersetuju dengan pengagihan subsidi yang lebih adil seperti yang dibentangkan memandangkan ia berupaya memperbaiki ketirisan subsidi dan hasilnya akan dapat diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan lebih baik.
"Ia juga boleh diterjemahkan dengan peluang untuk kenaikan upah golongan pekerja.
"Tambahan lagi, dengan kadar pengangguran telah berjaya turun kepada kadar 3.4 peratus setakat Ogos 2023 iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum Covid-19 (3.3 peratus), pengumuman PMX akan membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
"Saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri atas usaha pengecualian cukai persembahan pentas artis tempatan yang dinantikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Altimet menambah, baginya ia adalah 'one little band aid that helps'.
"Ia memandangkan kalau dilihat sebelum ini di Selangor, kadar 15 peratus sudah dihapuskan dan ia bergantung pada negeri tetapi, lokasi utama Kuala Lumpur sebelum ini adalah sebanyak 25% dan pengumuman ini tentunya melegakan penggiat seni tempatan,” katanya.
Beliau berkata, hari ini, pembentangan Belanjawan Madani Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi Madani adalah milik rakyat yang merupakan visi jelas Kerajaan untuk masa depan.
"Saya berharap susulan kerangka setiap keutamaan dan penanda aras Ekonomi Madani yang dicerakinkan dalam membentuk Malaysia maju tidak lama lagi," tambahnya.