KUALA LUMPUR - Peningkatan peruntukan untuk Sabah dalam Belanjawan 2024 berbanding tahun-tahun sebelumnya membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan mensejahterakan kehidupan masyarakat di negeri itu.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pemberian khas interim yang ditingkatkan kepada Sabah jelas membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan pembangunan dan infrastruktur negeri.
Beliau berkata, Belanjawan 2024 disifatkan sebagai komitmen tinggi Kerajaan Perpaduan dalam memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Peningkatan kadar pemberian khas interim untuk Sabah juga meningkat kepada RM300 juta, berbanding RM125.6 juta pada tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kata beliau, komitmen kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan pembangunan di Sabah dibuktikan dengan penurunan kuasa perlaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di peringkat kerajaan negeri.
Menurut beliau, penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Sabah yang berkuat kuasa pada 3 Januari 2024 bakal mengukuhkan lagi industri bekalan elektrik di Sabah dengan pemberian subsidi sehingga 2030.
"Kita amat terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi jaminan kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di pantai timur Sabah dengan melaksanakan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantaran elektrik di selatan Sabah," ujarnya.