MANILA - Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mencabar Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya menangkap dan menggantung dirinya atas dakwaan jenayah kemanusiaan sepanjang kempen perang dadah di negaranya.
Duterte turut mengulangi pendiriannya untuk tidak memberi kerjasama dengan pasukan penyiasat ICC.
ICC sebelum ini menuduh Duterte mengarahkan pembunuhan ribuan suspek dan pesalah narkotik di Filipina sejak tiga tahun lalu yang menyaksikan angka kematian mencecah sehingga 8,000 orang.
"Mahu sumbat saya ke dalam penjara? Jatuhkan hukuman gantung?
"Dipersilakan. Saya tidak gentar dengan ugutan ICC,” katanya semasa berucap di hadapan kadet dan pegawai tentera di Manila semalam.
Pada masa sama, Duterte menegaskan beliau tidak akan dibicarakan di mahkamah antarabangsa selain berikrar tidak akan mengurangkan tindakan keras ke atas pesalah narkotik.
Katanya, sistem kehakiman Filipina berfungsi dengan baik dan adalah bodoh untuk membayangkan beliau akan membiarkan dirinya dibicarakan mahkamah antarabangsa.
Kempen memerangi dadah itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang dilancarkan Duterte sejak memimpin Filipina dan disokong majoriti rakyatnya. - Agensi