KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu merangka pendekatan khusus bagi menangani saiz subsidi pukal negara dan melaksanakan rasionalisasi subsidi yang lebih berkesan dan bersasar bagi mengurangkan tekanan ke atas belanjawan tahunan negara.
Kementerian Kewangan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata, dari segi kemampuan kewangan kerajaan, subsidi secara pukal dan tidak bersasar memberikan kesan buruk kepada kedudukan fiskal dan menjadikan belanjawan tidak mampan.
Ia menegaskan peralihan secara berperingkat daripada program subsidi pukal kepada yang lebih bersasar adalah penting dan langkah peralihan boleh dilaksanakan secara berkesan dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti tahap pendapatan, kedudukan geografi, demografi dan status pekerjaan.
"Mekanisme bersasar boleh dilaksanakan dengan menambah baik program bantuan tunai sedia ada melalui konsolidasi program yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi,” katanya lagi.
Mekanisme itu juga hendaklah memanfaatkan perkembangan teknologi terkini dan menerima pakai digitalisasi untuk meminimumkan kos operasi diikuti dengan pemantauan dan penilaian rapi bagi memastikan pencapaian hasil yang diharapkan.
Pada 2022, jumlah subsidi negara mencatatkan paras tertinggi iaitu RM70.3 billion (kos operasi: RM58 bilion; Kumpulan Wang Covid-19: RM12.3 bilion), berbanding purata tahunan RM15.2 bilion bagi tempoh 10 tahun.
MOF menjelaskan dengan lanjut bahawa rasionalisasi subsidi boleh memperluas ruang fiskal untuk perbelanjaan bagi program dan projek dengan kesan pengganda yang tinggi, justeru, intervensi dasar yang disokong oleh libat urus yang erat diperlukan untuk melancarkan peralihan ke arah mekanisme subsidi bersasar secara berperingkat.
Kementerian itu berkata, usaha membina semula dan meningkatkan ruang fiskal perlu dipacu oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan penggunaan sumber yang cekap.
"Saiz subsidi pukal yang besar terutamanya bahan api menimbulkan risiko yang signifikan kepada kemampanan fiskal untuk jangka masa panjang.
"Walaupun pada masa yang sama, subsidi boleh digunakan secara strategik untuk mencapai pelbagai matlamat ekonomi, sosial dan alam sekitar. Kerajaan perlu mengimbangi antara pengagihan sumber dengan memaksimumkan manfaat ekonomi,” kata MOF lagi.
Memetik Bank Dunia, MOF berkata, badan dunia itu menyatakan Malaysia perlu memansuhkan subsidi pukal secar berperingkat dan beralih ke arah subsidi bersasar melalui mekanisme pindahan tunai untuk menyokong golongan mudah terjejas dengan lebih baik.
Bank Dunia turut menyarankan bahawa mekanisme ini dilaksanakan dengan beransur-ansur dan disemak semula secara berkala bagi mengelakkan pemansuhan subsidi yang mendadak seterusnya menyebabkan inflasi meningkat dengan ketara.
"Rasionalisasi subsidi bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam ekonomi dan membina semula ruang fiskal di samping meminimumkan risiko kejutan ekonomi,” katanya lagi. - Bernama