KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi fokus kepada aspek rakyat.
Menurutnya, ia meliputi kehidupan pesawah, petani, nelayan dan aspek pendidikan.
"Kalau anda tanya, saya lebih suka kepada pendidikan. Sebab ia amat penting kerana banyak generasi muda keluarga mereka tidak dapat menampung perbelanjaan pendidikan terutamanya apabila nak masuk universiti.
"PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) akan mengambil masa untuk proses. Yang ini saya ingat satu kunci kita kena tolong.
"Saya secara peribadi melihat mereka ini. Kadang-kadang sedih nak masuk tapi tak ada duit. Ia menyebabkan mereka tak mahu daftar. Yang itu kita kena tolong," katanya ketika ditemui di Parlimen di sini pada Jumaat.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 memaklumkan penuntut sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran.
Sementara itu, ditanya mengenai subsidi bersasar yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan, Johari berkata, beliau belum mendapatkan perincian lanjut mengenai perkara tersebut.
"Saya tak ada perincian lagi macam mana mereka (kerajaan) nak buat selain di peringkat elektrik itu sahaja. Yang lain ini saya ingat mungkin mereka sedang melihat dari segi mekanismenya.
"Kalau mekanisemenya betul dan dia akan dapat pergi terus kepada rakyat secara keseluruhan.
"Walaupun dia (kerajaan) menuju kepada subsidi bersasar, tetapi dalam masa dia menekankan simpanan yang dapat daripada subsidi bersasar ini (yang) akan dipulangkan balik kepada rakyat khususnya kepada rakyat yang dianggap dalam kategori B40,” katanya.