KUALA LUMPUR - Peruntukan besar kerajaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Belanjawan 2024 disifatkan sebagai langkah tepat bagi memperkukuhkan lagi agensi penguatkuasaan itu menjaga keselamatan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, peruntukan sebanyak RM19 bilion yang diberikan kepada KDN berupaya memperkukuhkan lagi usaha PDRM memastikan ketenteraman awam serta menjamin keamanan dan keselamatan negara.
Beliau berkata, peruntukan RM20 juta kepada National Scam Response Centre (NSRC) pada Belanjawan 2024 berbanding RM10 juta pada tahun sebelumnya berupaya meningkatkan lagi fungsi pusat itu membanteras jenayah scam.
Selain itu kata beliau, peruntukan juga diberikan bagi penggantian aset lama iaitu melibatkan tujuh buah kapal terbang 'twin engine' dan lima buah helikopter ringan.
"Peruntukan berjumlah RM2.4 bilion disediakan kerajaan bagi membina, menyelenggara serta membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk yang diduduki oleh warga PDRM.
"Selain itu, peruntukan RM5 juta diberikan bagi menambah bilangan anjing pengesan (K9) untuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Razarudin berkata, peruntukan sebanyak RM60 juta disediakan kerajaan bagi pelantikan renjer komuniti dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, orang asli dan komuniti setempat.
Menurutnya lagi, 'hadiah istimewa' diberikan kerajaan pada Belanjawan 2024 adalah bayaran insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Tambahnya, kerajaan juga bersetuju memberi RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform.
"Bayaran insentif sebanyak RM1,000 juga diberikan oleh kerajaan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen," ujarnya.
Selain itu kata beliau, liputan skim ex-gratia bencana kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000.
Tambahnya lagi, pemberian ganjaran juga diberikan kepada agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang.
"PDRM akan memastikan segala insentif Belanjawan 2024 dimanfaatkan sepenuhnya dengan tata kelola kewangan terbaik.
"Ia demi memelihara ketenteraman dan keamanan negara, sejajar dengan usaha pembangunan Malaysia Madani," ujarnya.
Tegasnya, PDRM akan kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik, selain mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.