India jadi lauk Harimau Malaya

Iklan
Arif Aiman (kanan) dan Faisal turut meledak gol ketika aksi bertemu India. - FOTO: FB FAM

HARIMAU Malaya melangkah dengan penuh bergaya ke perlawanan akhir selepas menundukkan India 4-2 dalam aksi Pestabola Merdeka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu mempamerkan permainan agresif sebaik perlawanan dimulakan sekali gus memerangkap taktikal yang mahu direncanakan The Blue Tigers.

Iklan
Iklan

Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ketujuh melalui pemain pertahanan, Dion Cools yang memanfaatkan keadaan kucar kacir di hadapan gol India sebelum dia melepaskan rembatan menewaskan Gurpreet Singh Sandhu.

Bagaimanapun, pasukan di ranking ke-102 dunia itu kembali menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi Mahesh Singh Sandhu.

Iklan

Arif Aiman Mohd Hanapi tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk kembali meletakkan Harimau Malaya di hadapan.

Laungan siuuu bergema di Stadium Nasional apabila tonggak sayap sensasi negara, Faisal Halim meledak gol ketiga berpunca tekanan yang diberikan Arif Aiman kepada pertahanan India sebelum Faisal mudah menewaskan Gurpreet pada minit ke-42.

Iklan

Kealpaan benteng pertahanan negara dihukum pada minit ke-51 selepas penyerang berbisa mereka Sunil Chhetri mudah menolak masuk hantaran pemain Lallianzuala Chhangte.

Kontroversi tercetus pada minit ke-56 apabila pengadil tidak membenarkan gol Chhangte yang didakwa oleh pemain India sudah melepasi garisan gol.

Skuad negara garang menambah gol kali ini menerusi Corbin Ong yang menolak hantaran daripada Faisal pada minit ke-60.

India terus tenggelam dalam sorakan 46,000 penyokong Harimau Malaya apabila gagal mencari gol sekali gus keputusan kekal sehingga penghujung perlawanan.

Malaysia menempah pertemuan dengan Tajikistan dalam aksi final yang akan berlangsung pada Selasa depan di venue sama.

Tajikistan yang berada di ranking ke-110 dunia itu layak ke final selepas mendapat 'bye' kerana Palestin menarik diri.