Kerajaan diminta kenal pasti kategori pelarian sebelum daftar

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta untuk mengenal pasti kategori pelarian sebelum mendaftarkan golongan itu di negara ini.

Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya mengenal pasti terdapat dua kategori pelarian iaitu mereka yang ditindas dan berkaitan migrasi ekonomi.

Iklan
Iklan

"Migrasi ekonomi ini ialah orang yang mendakwa mereka merupakan pelarian yang diiktiraf tetapi sebenarnya mereka datang ke sini untuk mendapatkan ekonomi yang lebih baik,” katanya pada sidang media di Sungai Besi di sini hari ini.

Musa yang juga Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) berkata, sesi temu bual perlu diadakan bagi mengetahui latar belakang pelarian terbabit sebelum didaftarkan.

Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan pendaftaran itu membantu pihak berkuasa mengesan lokasi pelarian jika terlibat dengan jenayah dan perkara yang melanggar undang-undang negara, dan pelaksanaan pendaftaran pelarian ini perlu dipantau serta diurus dengan baik bagi mengelakkan isu berbangkit apabila ia dilaksanakan kelak.

Beliau berkata demikian bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan KDN untuk melaksanakan dokumen pendaftaran pelarian (DPP).

Iklan

Pada Mei lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri kini dalam usaha mengumpul data berkaitan pelarian misalnya jantina, umur dan negara asal mereka. - Bernama