PM mahu kegiatan sukan di sekolah, IPT diperkasa

Iklan
Anwar merasmikan Hari Sukan Negara 2023 di Dataran Putrajaya pada Sabtu. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rangkaian antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang lebih erat, bagi membolehkan kegiatan sukan di sekolah, pusat pengajian tinggi dan komuniti, terus disegarkan dan diperkasa.

Berucap merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 bertemakan #FitMalaysia di Dataran Putrajaya di sini pada Sabtu, Anwar berkata, negara Madani hanya akan berkembang sekiranya rakyat diperkasakan, bukan hanya menerusi bidang pekerjaan dan ekonomi sahaja, malah menerusi aspek kesihatan melalui bersukan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, rakyat juga mahukan keamanan, dan negara Madani merupakan negara yang fokus untuk memacu pertumbuhan dalam pelbagai aspek.

"Sebab itu saya lontarkan idea ini (Madani), kerana saya yakin Malaysia akan selamat, bahagia dan cemerlang, sekiranya kita dapat yakinkan anak muda bangkit sebagai satu kesatuan, semangat perpaduan tulen tanpa mengira kaum dan budaya masing-masing,” katanya di hadapan lebih 20,000 peserta yang menyertai program HSN 2023.

Iklan

Anwar diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, turut melakukan pelepasan peserta acara larian dan berbasikal, yang diadakan sempena HSN 2023 itu.

HSN merupakan agenda nasional, yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober, dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau membentangkan beberapa inisiatif dan insentif yang dituntut puluhan tahun untuk kegiatan sukan, dalam Belanjawan 2024 pada Jumaat.

Dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani, Anwar mengumumkan antaranya peruntukan RM72 juta tahun hadapan bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium dan pelaksanaan inisiatif Road to Gold, sebagai usaha menggapai pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Sejumlah RM50 juta juga disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara, serta cadangan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000. - Bernama