MELAKA - Bapa kepada pelajar tingkatan empat yang ditemui lemas tidak menyangka cuti tahunan yang dimohon untuk pulang ke kampung terpaksa dibatalkan bagi menguruskan jenazah anaknya.
Mohd Faizal Hasan, 43, yang merupakan Ketua Inspektor Penjara Sungai Udang berkata, dia sepatutnya pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan pada malam Jumaat, namun membatalkannya selepas menerima berita yang menimpa anak bongsu daripada dua beradik itu.
Menurutnya, pada petang itu, dia sempat menghantar mangsa, Allahyarham Faris Darwisy Mohd Faizal,16, di pantai untuk meraikan hari terakhir dua guru pelatih bersama 14 rakannya yang lain.
Katanya, rakan anaknya memaklumkan ketika mangsa yang mesra dipanggil Angah sedang menjamu selera di tepi pantai lebih kurang jam 6.10 petang, arwah terlihat seorang rakannya hampir lemas di tengah laut, lalu bergegas menyelamatkan sebelum dia dilaporkan lemas.
"Saya reda ALLAH lebih sayangkan dia, dan dia pergi dengan cara baik kerana nak menyelamatkan nyawa rakannya dan pada hari baik iaitu hari Jumaat.
"Saya tidak menyalahkan sesiapa, guru mahupun pihak sekolah dan anggap sudah ajal arwah," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini, pada Sabtu.
Ujarnya, ketika insiden itu terdapat beberapa komando tentera darat yang kebetulan berada di lokasi kejadian berenang untuk menyelamatkan arwah, namun terlepas dari genggaman.
Bapa kepada dua orang itu turut menyifatkan Allahyarham sebagai anak yang baik dan taat, malah arwah rajin memberikan neneknya yang tinggal bersama mereka makanan dan ubat setiap hari.
"Dia rajin buat kerja-kerja rumah, dan sentiasa periang dan peramah orangnya.
"Selalu dialah yang akan menemani saya ke mana sahaja termasuk ke gimnasium kerana dia juga bercita-cita mahu menyertai pasukan beruniform suatu hari nanti," katanya lagi.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi Sungai Udang.
Sinar Harian pada Jumaat menyiarkan seorang pelajar lelaki tingkatan empat ditemukan lemas di Pantai Mutiara, Kem Terendak.
Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa yang berusia 16 tahun pergi ke pantai berkenaan bersama rakan dan gurunya dipercayai sedang mandi di tengah laut, sebelum dilihat terkapai-kapai dan hilang sebelum sempat diberikan bantuan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penguasa Kanan Bomba Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.30 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu digerakkan ke lokasi kejadian.