Belanjawan 2024: Insentif ekonomi gig perlu perincian menyeluruh

Iklan
Mujahid

SHAH ALAM - Belanjawan 2024 Malaysia Madani berkaitan ekonomi gig perlu diperincikan daripada sudut insentif seperti skim bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), insurans, kenderaan, penyelenggaraan kenderaan dan kebajikan lain.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, langkah berkenaan perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan dan ia juga perlu disusuli dengan insentif peningkatan melalui latihan serta bimbingan.

Iklan
Iklan

"Kelompok besar anak muda dalam ekonomi ini boleh dijadikan sebagai ruang memberdayakan ‘social mobility’ dengan memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran melalui biasiswa khas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion bagi Belanjawan 2024, tertinggi pernah dibentangkan merangkumi RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan bertemakan 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' itu adalah dasar penting dan menyeluruh, selain memacu pertumbuhan ekonomi serta membela rakyat.

Mengulas lanjut, Mujahid memaklumkan, pelbagai faktor telah menjejaskan bekalan dan dikaitkan dengan peningkatan kos yang membebankan rakyat.

Iklan

Menurutnya, isu itu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh jangka masa pendek kerana ia melibatkan keseluruhan rantaian bekalan dan faktor krisis luar negara yang di luar kawalan.

"Bagaimanapun, tahniah diucapkan buat Perdana Menteri kerana dalam pembentangan belanjawan itu beliau (Anwar) ada memenuhi nilai ihsan dalam teras Madani,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, antara perkara lain yang ditunggu dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani adalah mengenai isu perumahan rakyat, kesihatan awam dan program kesejahteraan rakyat.

Jelasnya, menerusi Program Perumahan Madani, ia perlu diberikan peruntukan untuk membina, menyewa atau jual kepada golongan bersasar yang layak.

Beliau berkata, bagi memangkinkan ekonomi mampan, pendekatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) perlu diperluaskan melibatkan keseluruhan sistem kewangan, infrastruktur dan undang-undang yang menyokong ke arah ekonomi mampan.

"Pelaburan mampan dan bertanggungjawab perlu berada pada keutamaan dari sudut pelaporan audit, penyenaraian Bursa dan sistem kewangan yang berdasarkan Maqasid dalam kerangka VBI (Value Base Intermediary).

"Pengukuhan konsep maqasid melalui Institut Maqasid Antarabangsa perlu diwujudkan seperti mana hasrat Perdana Menteri yang mana Malaysia boleh menjadi hub kajian ekonomi berpandukan maqasid dan mampu menjadi rujukan dunia,” katanya.