GUA MUSANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sebuah kompleks sukan bakal dibina di jajahan ini tidak lama lagi.
Menurut beliau, rundingan itu akan dibuat dengan Menteri Belia dan Sukan, Kementerian Ekonomi dan Kewangan dalam merealisasikan kewujudan kompleks tersebut.
"Insya-ALLAH kalau tidak tahun ini, tahun hadapan saya akan usahakan.
"Kebetulan Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) menjadi peneraju utama kepada pembangunan di Gua Musang dan ada permohonan yang dibuat di mana kita merancang ke arah itu," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kelantan di Taman Etnobotani Gua Musang di sini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memberitahu, pada 2028 Kelantan dipilih sebagai tuan rumah bagi sukan Sukan Malaysia (Sukma).
Ujarnya, sebanyak RM267 juta peruntukan telah diberikan untuk pembinaan kemudahan sukan yang bersesuaian dengan acara-acara kesukanan.
Beliau berkata, yang paling penting sukan menjadi elemen bagi mewujudkan integrasi dalam kalangan rakyat dan melupakan warna-warna politik terutamanya yang berbeza.
"Kelantan mempunyai bakat kesukanan yang tinggi tetapi ianya harus digilap dengan kemudahan dan juga kejurulatihan yang dilakukan," tambahnya.