Enam pengunjung terperangkap kepala air diselamatkan

Iklan
Anggota bomba dari BBP Kuala Nerang menyelamatkan enam pengunjung terperangkap akibat kejadian kepala air di Hutan Lipur Puncak Janing pada Jumaat.

PADANG TERAP - Enam pengunjung termasuk seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas apabila terperangkap akibat kejadian kepala air di Hutan Lipur Puncak Janing di sini pada Jumaat.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Mohd Ridzuan Jaafar berkata, mereka berjaya diselamatkan dengan bantuan sepasukan anggota dari BBP Kuala Nerang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sepasukan tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.11 petang.

"Setiba di lokasi kejadian, kita mendapati terdapat enam mangsa terkandas di atas tebing dan tidak dapat menyeberangi sungai.

Iklan

"Sehubungan itu, anggota operasi telah menyelamatkan kesemua mangsa dengan teknik 'cross' melalui jarak lebih kurang 200 meter," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah beliau, mangsa kemudiannya boleh melintas jambatan dan berjaya diselamatkan.

Iklan

Katanya, operasi menyelamatkan mangsa terperangkap di pusat rekreasi itu tamat sepenuhnya pada jam 5.41 petang.