Perlepasan cukai, yuran latihan jadi 'game changer' industri sukan - Hannah

Iklan
Hannah Yeoh - Foto Bernama

[DIKEMAS KINI] PERLEPASAN cukai untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat akan menjadi pengubah keadaan (game changer) industri sukan negara. Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, perkara itu penting kepada ibu bapa yang melaburkan duit simpanan setiap bulan bagi membolehkan anak-anak mereka kekal aktif bersukan di samping mengejar impian menjadi jaguh sukan pada masa depan.

Bercakap pada sidang media selepas Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat kebangsaan pada Sabtu, beliau berkata galakan pelaburan daripada ibu bapa juga dapat meningkatkan lagi pendapatan untuk industri sukan selain memastikan lebih ramai rakyat Malaysia aktif bersukan. Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 dan akan diperluaskan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Hannah yakin dana geran padanan RM50 juta yang diumumkan pada Jumaat bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi mampu meningkatkan lagi jumlah penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa pada tahun depan.

"Kerana bajet pada tahun ini keluar pada April, (jadi) agak lewat bagi persatuan sukan untuk mendapatkan pengiktirafan badan antarabangsa menyebabkan (geran diguna untuk) banyak acara komuniti, tetapi dengan adanya pengumuman ini, kita sasarkan lebih banyak kejohanan antarabangsa. Kita juga telah mengurangkan birokrasi bagi penganjuran acara sukan dan permohonan geran. Fokus tahun ini adalah kejohanan berprestasi tinggi supaya atlet kita dapat faedah,” katanya

Iklan

Hannah turut menzahirkan rasa gembira dengan peruntukan bagi Program Podium, untuk persediaan atlet negara ke temasya antarabangsa sebanyak RM52 juta, iaitu peningkatan 30 peratus berbanding 2023.

Bagi program Road To Gold (RTG) pula, iaitu program bertujuan untuk meraih emas pertama di Sukan Olimpik, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM20 juta berbanding RM5 juta pada tahun ini.

Iklan

Mengulas mengenai dakwaan tiada peruntukan untuk persediaan atlet para di peringkat akar umbi selepas RM12 juta diperuntukkan bagi memperkasa ekosistem atlet para ke temasya antarabangsa, Hannah berkata dana bagi tujuan itu telah termasuk sekali dalam bajet untuk sukan berkomuniti.

Sebelum itu, Hannah menyertai HSN 2023 yang dirasmikan Perdana Menteri di Perkarangan Istana Kehakiman di sini.

HSN disambut serentak di seluruh negara dan sebanyak 66 acara dianjurkan bersempena sambutan itu pada tahun ini.

"Perdana Menteri gembira melihat penyertaan ramai keluarga, ibu bapa yang keluar bersama anak-anak kecil dan pelbagai aktiviti sukan dianjurkan untuk semua lapisan masyarakat, termasuk orang kurang upaya,” katanya. - Bernama