99 rumah dibina untuk veteran ATM - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad (tiga dari Kiri) memotong reben rumah di bawah inisiatif perumahan veteran ATM di Ayer Baloi pada Sabtu.

PONTIAN - Sebanyak 99 rumah baharu membabitkan peruntukan RM6.5 juta telah dibina menerusi inisiatif perumahan veteran Angkatan Tentera Malaysia( ATM) dalam tempoh tiga tahun sejak 2021.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, lebih RM8 juta telah dibelanjakan kerajaan bagi membaik pulih 554 unit rumah.

Iklan
Iklan

"Inisiatif bina dan baik pulih rumah veteran ATM akan diteruskan dalam usaha membantu veteran ATM berpendapatan rendah dan kurang kemampuan dengan menyediakan tempat kediaman lebih kondusif dan selesa.

"Selain itu, menerusi Belanjawan 2024 bayaran insentif 1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen," katanya.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas menyerahkan kunci rumah kepada tiga penerima terdiri daripada dua veteran ATM dan seorang balu veteran menerusi inisiatif perumahan veteran ATM peringkat negeri di Ayer Baloi di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Cawangan Pontian, Ahmad Safar berkata, dianggarkan sebanyak 30 permohonan membina rumah baharu diterima daripada ahli veteran ATM setiap tahun.

Iklan

"Veteran ATM di Pontian harap kerajaan tambah kouta bagi membina rumah baharu untuk mereka. Ini kerana tidak semua veteran ATM bernasib baik.

"Sesetengah veteran ATM ini malu, tetapi JHEV di setiap cawangan akan mencari mereka untuk menghulurkan bantuan," katanya.

Bagi melindungi kebajikan dan pembangunan sosioekonomi anggota veteran, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 berkata, setiap program kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan.