MELAKA - Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyambut baik Belanjawan 2024 dan menyifatkan ia lebih dinamik untuk negara maju ke depan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, ini kerana belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyediakan serta memberikan pelbagai insentif kepada semua lapisan rakyat dalam menjulang pembangunan negara.
Menurut beliau, tidak ketinggalan pemberian bantuan Rahmah kepada penjawat awam sama ada kekal, berpencen atau kontrak telah diselaraskan.
"Ini satu pendekatan baharu dalam membina Malaysia selepas pandemik Covid-19 akan membuahkan kejayaan.
"Pelbagai insentif di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong negara ke arah lebih cemerlang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di Ayer Keroh di sini pada Sabtu.
Terdahulu media melaporkan Anwar yang juga Menteri Kewangan memperuntukkan sebanyak RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan kerajaan ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, penglibatan komuniti dalam membudayakan sukan sebagai gaya hidup aktif dan sihat secara tidak langsung membawa kepada peningkatan produktiviti kerja.
Menurutnya, di peringkat kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai aktiviti sukan dan kecergasan seperti acara larian, berjalan kaki, berbasikal, senamrobik, sukan tradisional, sukan Seni Mempertahankan Diri (SMD), sukan integrasi orang kurang upaya (OKU), sukan lasak serta sukan elektronik.
"Saya begitu menggalakkan penglibatan semua peringkat dalam membudayakan aktiviti sihat," katanya.
Dianggarkan seramai 10,000 peserta mengambil bahagian sempena Hari Sukan Negara yang turut dilaksanakan secara serentak di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah dan Stadium Jasin.