SHAH ALAM - Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail bersyukur kerana fitnah yang dilemparkan ke atasnya dan keluarga berhubung projek ternakan lembu selama 12 tahun akhirnya terbukti salah.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat yang memutuskan Mohamad Salleh bersama tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah dibebas dan dilepaskan daripada saman kerajaan membabitkan RM253.6 juta.
Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Hakim Anand Ponnudurai jelas dan nyata membuktikan mereka tidak bersalah, dengan segala tuduhan yang dilemparkan sejak perbicaraan bermula pada 2012.
"Terang lagi bersuluh, hakim membuat keputusan berasaskan fakta sebenarnya bahawa tiada penyelewengan atau apa jua salah laku, malah semua urusniaga termasuk pembelian hartanah dijalankan dengan tata kelola yang betul mengikut perjanjian pinjaman.
"Walaupun saya telah dihukum terlebih dahulu oleh ‘mahkamah pandangan awam’, Alhamdulillah, pada hari Jumaat penghulu segala hari semalam menyaksikan bahawa perundangan negara telah menegakkan kebenaran.
"Saya reda dengan ujian yang telah ditimpa ke atas saya dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohamed Salleh juga menyatakan, sepanjang kes tersebut berlangsung, pelbagai tekanan yang diterima dan isterinya yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil turut menjadi mangsa politik tohmahan dan penganiayaan ini.
Malah katanya, Shahrizat juga dengan rela hati meletakkan jawatan dalam kabinet akibat fitnah berkenaan pada masa itu dan beliau pasrah dengan apa yang berlaku.