PSM disaran tidak guna padang hingga aksi final Pestabola Merdeka

Iklan
Mohd Faidz - Foto: Bernama

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) telah disarankan supaya tiada sesi ujian padang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum aksi final Pestabola Merdeka 2023 menentang Tajikistan pada Selasa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi berkata saranan itu, diberikan oleh pihak kontraktor yang membuat kerja-kerja penukaran padang, susulan insiden rumput tercabut dan tompok di beberapa bahagian, ketika aksi Malaysia menewaskan India 4-2, malam tadi.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, beliau berkata, PSM sedang mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai perkara berkenaan, dan buat masa ini tiada perancangan untuk menukar stadium bagi aksi final itu.

Mohd Faidz berkata, bagi memastikan rumput baharu jenis Zeon Zoysia itu matang sepenuhnya, tiada acara akan diadakan sehingga pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November, diikuti konsert Coldplay pada 22 November.

Iklan

"Kita mempunyai rumput yang mencukupi di nurseri, iaitu 9,000 meter persegi, lebih daripada keperluan 8,000 meter persegi di stadium. Jadi kita akan buat yang terbaik demi skuad Harimau Malaya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan pada Sabtu.

Mohd Faidz berkata, sebelum aksi pada Jumaat, pihak FAM dan Komisioner Perlawanan juga telah membuat penilaian terhadap kualiti padang itu.

Iklan

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, insiden itu merupakan masalah teknikal yang memerlukan nasihat pakar, sebelum pihaknya boleh mengambil apa-apa keputusan.

"PSM hanya menyediakan stadium, sama ada main atau tidak bergantung kepada skuad Harimau Malaya dan FAM,” katanya.

Stadium Nasional ditutup sejak Mac untuk penanaman rumput baharu kurniaan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan proses menaik taraf berkaitan padang, struktur dan tapak semaian melibatkan kos hampir RM4.8 juta.

Tunku Ismail menerusi laman X pada Jumaat, menjelaskan rumput berkenaan perlu diberi masa untuk akarnya tumbuh dengan kuat sebelum digunakan seperti padang di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru. - Bernama